Enggan Bergerak Dari Kubur Saudara Sendiri, Kucing Persia Ini Buat Ramai Tersentuh

Kematian orang yang dikasihi pastinya menyedihkan.

enggan bergerak dari kubur saudara sendiri, kucing persia ini buat ramai tersentuh

Seorang pemuda yang berasal dari India, iaitu Munnavar Shaikh dan keluarganya, bagaimanapun berasa terkejut melihat tingkah laku kucing peliharaan mereka, Leo yang duduk di sebelah kubur saudaranya, Coco, selama berjam-jam pada hari ia dikebumikan.

Menerusi satu paparan video yang tular, kelihatan Leo yang meratapi kematian saudara kandungnya itu dengan duduk diam di kubur tersebut.

“Kami menguburkan Coco di perkarangan kami. Kami terkejut melihat bagaimana Leo akan pergi ke kubur dan duduk di sana selama berjam-jam,” kata anak lelaki Munnavar, Faysal.

Kongsinya, adik-beradik kucing itu tergolong dalam jenis kucing Parsi yang diterima Faysal sebagai hadiah daripada rakannya kira-kira empat tahun lalu, iaitu ketika mereka masih lagi kecil.

Leo mempunyai bulu putih berkilat sementara Coco pula berwarna hitam, kedua-dua mereka merupakan kucing peliharaan kesayangan Faysal sekeluarga.

Tetapi sekitar dua setengah tahun yang lalu, Coco hilang ketika bermain di luar kediaman mereka, menyebabkan keluarga tersebut khuatir yang ia dicuri.

enggan bergerak dari kubur saudara sendiri, kucing persia ini buat ramai tersentuh

Enam bulan selepas kejadian tersebut, keluarga itu menerima maklumat bahawa Coco dibela keluarga lain di Valsa, menyebabkan Shaikh terpaksa meminta bantuan polis untuk membawa pulang Coco dari keluarga terbabit yang enggan melepaskannya.

Malangnya, pada ketika itu, Coco telah pun mengalami beberapa masalah kesihatan yang serius.

“Walaupun selepas dua tahun, kedua-dua adik-beradik itu segera saling mengenali. Mereka banyak bermain antara satu sama lain. Tetapi Coco mati kerana komplikasi kesihatan. Kami berusaha mendapatkannya rawatan di hospital veterinar tetapi tidak dapat menyelamatkannya,” kata Faysal.

Coco kemudian dibawa pulang dengan tenang dan dikebumikan di perkarangan rumah mereka.

“Leo tidak mengetahui tentang kematian atau pengebumian itu, tetapi merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Setelah beberapa jam, ia (Leo) datang dan duduk di dekat kubur,” kata Faysal.

 

Sumber: [1]