Empat Pelancong Dikesan Positif Di Terminal, Tidak Dibenarkan Masuk Ke Langkawi

Empat individu tidak dibenarkan menaiki feri di Terminal Feri Kuala Kedah setelah didapati positif COVID-19 pada Jumaat lalu.

empat pelancong dikesan positif di terminal, tidak dibenarkan masuk ke langkawi

Kesemua individu tersebut termasuklah sepasang suami isteri yang masing-masing berusia 30 tahun sementara dua lagi merupakan seorang lelaki berusia 26 tahun dan wanita yang berusia 40 tahun.

Keempat-empat mereka berjaya dikesan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika pemeriksaan pengesanan COVID-19 yang dijalankan di terminal terbabit.

Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat, mereka didapati positif selepas menjalani ujian kendiri saliva yang menunjukkan keputusan dijangkiti COVID-19.

“Kita dapat kesan apabila empat orang ini, bukan dari kumpulan yang sama, masuk ke kawasan pengesanan untuk ujian kendiri menggunakan saliva.

“Mereka didapati positif. Pihak KKM telah uruskan untuk tindakan selanjutnya,” jelas Kamarul.

Beliau turut memaklumkan yang pihak polis telah meminta KKM untuk mengesan kontak rapat susulan bimbang mereka terlepas menaiki feri ke Langkawi.

Tambahnya, seramai 216 penumpang yang menaiki feri dari Kuala Kedah ke Langkawi perlu melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau juga menggalakkan orang ramai yang merancang berkunjung ke destinasi peranginan itu agar melakukan ujian saringan awal bagi mengelakkan penularan di kawasan terminal.

Sejak Langkawi membuka pintunya kembali kepada orang, ia telah menyambut kedatangan seramai 12,607 pelancong termasuk 11,853 pengunjung domestik dan 754 antarabangsa.

 

Sumber: [1]