Elyana Bakal Kembali Aktif Semula Dalam Arena Hiburan Selepas Bebas Kanser

Penyanyi dan pelakon wanita, Elyana Emrizal kini sah bergelar artis ‘multi-channel network’ (MCN) naungan WebTVAsia dan Playground Asia.

elyana bakal kembali aktif semula dalam arena hiburan selepas bebas kanser

Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Binti Emrizal telah berkecimpung dalam arena hiburan tanah lebih dari 21 tahun sejak dari usia 14 tahun dan pernah popular menerusi lagu-lagu hits seperti “Niat”, “Kalis Rindu” dan “Tapak Sulaiman”.

Menerusi projeknya bersama WebTVAsia, Elyana bakal menginspirasi umum tentang perjalanannya sebagai bekas pesakit kanser limfoma melalui kehidupan sehariannya.

“Hari ini saya rasa sangat gembira dan bersyukur kerana pihak WebTVAsia memberikan peluang untuk saya berkarya dan merealisasikan impian saya. Sebenarnya memang sudah lama saya ingin aktif dalam YouTube sebab ada terlampau banyak yang saya ingin kongsikan kepada peminat saya.  Harapan sayan untuk projek ini, dapat memberi manfaat bukan untuk diri saya dan ‘team’ sahaja, malah untuk semua yang pernah melalui pengalaman seperti saya.

“Mungkin saya dapat memberi semangat dan inspirasi keceriaan dalam hidup bukan sahaja di Malaysia, malah ke seluruh dunia. Saya percaya, ramai lagi insan di dunia ini yang memerlukan semangat untuk meneruskan hidup mereka,” kata Elyana yang teruja membuka langkah baru dalam kariernya sebagai anak seni.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif WebTVAsia Fred Chong berkata, “Saya amat berbangga dengan kejayaan Elyana selama berbelas tahun berjuang sebagai bekas pesakit kanser limfoma tahap empat. 

“Walaupun Elyana sudah beberapa tahun berehat, saya percaya Elyana masih mampu memeriahkan lagi industri hiburan dan boleh berkongsi inspirasinya ke seluruh pelosok dunia.

“Pihak kami juga percaya Elyana mampu menyuntik semangat dan inspirasi buat ramai lagi insan yang mempunyai nasib yang sama seperti beliau.”