Dugaan demi dugaan yang mendatang, seorang mangsa banjir yang juga merupakan warga emas, Saroni Minhad, 72, terpaksa akur apabila rumahnya di Kampung Bukit Changgang, Banting hangus dijilat api ketika banjir melanda pada Ahad lalu.
Lebih 90 peratus rumahnya yang dibina sejak 40 tahun lalu hasil keringat sendiri musnah dijilat api dalam kejadian malang itu.
Saroni berkongsi mengenai kejadian itu, berkata “Masa tu saya duduk di beranda, jadi saya mengalihkan motor di depan sebab air naik (banjir).
“Anak saya menjerit api, saya tengok api sudah menjulang. Saya simbah air dua kali pun api dah tinggi, jadi saya terus lari tinggalkan rumah.
“Tiada apa-apa dapat saya bawa, kad pengenalan, duit semua habis. Saya tak ada apa yang saya pegang masa keluar, saya pakai kain sahaja masa tu,” ceritanya.
Rumahnya juga tidak terlepas dinaiki air banjir pada malam kejadian sehingga menyebabkan kawasan dapur hingga ruang tamu musnah dan tiada lagi perabot yang dapat digunakan.
“Kali ini saya tengok rumah, tidak boleh nak cakap apa-apa, musnah semua. Macam mana pun tidak boleh nak salahkan sesiapa, itu kehendak Allah.
“Kita buat bertahun-tahun nak menyenangkan anak-anak semua tetapi sudah macam ini, dah nasib itu sahaja,” luahnya, sayu.
Tambahnya, kediaman itu dahulunya merupakan tempat berkumpul seluruh ahli keluarganya terutama 13 anak serta 35 cucu.
“Biasalah, apa yang beri bantuan itu, beberapa sahajalah boleh macam ini kan kita nak bersihkan balik, banyak juga yang modal diperlukan.
“Saya buat rumah atas ini dulu anak saya nombor tiga, sekarang dia umur 40 tahun. Saya dapat duit KWSP 55 tahun saya sambung sebelah, selepas itu ada rezeki saya sambung.
“40 tahun saya buat rumah ini semua, sampai sekarang ni musnah, sedih juga tapi redha sahaja.”
Sumber: [1]