Setelah beradu tenaga selama empat bulan bagi menjuarai The 3M Inspire Challenge, dua pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai Juara Serantau dalam pertandingan tersebut.
Pasangan tersebut berjaya menewaskan lima Juara Negara lain dari Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Setelah mengkonsepsikan serta memperhalusi idea mereka yang sekian lama dibimbing para sukarelawan 3M, kumpulan ini berjaya mengatasi 121 buah kumpulan mahasiswa lain yang berasal dari negara-negara serantau.
The 3M Inspire Challenge merupakan cabaran kes peringkat serantau yang berlandaskan tema Teknologi, Kelestarian, serta Inovasi dan ia dianjurkan oleh syarikat sains bertaraf global, 3M yang ingin meneroka solusi-solusi baharu bagi menaik taraf perniagaannya.
Juara Serantau, iaitu kumpulan Too Good Duo yang mewakili Malaysia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dianggotai oleh:
- Mohd Fahad Saleem, Sarjana Muda Sains Bahan (dengan Kepujian)
- Nur Liyana Syasya Mohd Zamuri, Sarjana Muda Sains Bahan (dengan Kepujian)
Mereka berjaya memenangi hadiah wang tunai sebanyak USD$3,000 selain menjalani latihan industri di pejabat 3M negara.
“Pelekat luka merupakan antara barangan yang lazimnya disimpan di rumah kita dengan meningkatnya kesedaran orang ramai terhadap tatacara pengurusan luka yang betul sejak berdekat yang lalu.
“Kami telah mengkonsepsikan idea Pelekat Luka Pintar atau ‘Smart Bandages’ untuk menghasilkan produk yang mampu memantau proses penyembuhan luka yang berperingkat serta membekalkan kondisi yang optimum untuk kulit dan tisu menyembuh agar pengguna dapat menjalani hidup mereka seperti biasa tanpa merisaukan tentang luka mereka,” jelas ahli kumpulan juara itu, Mohd Fahad Saleem.
“Kami telah menyaksikan bagaimana semua kumpulan yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini telah berkembang, dan ia merupakan sesuatu yang amat membanggakan bagi kami.
“Inovasi merupakan sebuah proses penyempurnaan idea yang berterusan dan semangat yang mereka telah tunjukkan tidak pernah pudar sepanjang pertandingan tersebut,” kata En. Kevin McGuigan selaku Naib Presiden dan Pengarah Urusan, 3M Asia Tenggara merangkap Ketua 3M Singapura.
“Meskipun The 3M Inspire Challenge sudah melabuhkan tiranya, saya berharap ia bukan sahaja telah mencungkil sifat ingin tahu dan semangat inovasi dalam kalangan peserta, tetapi para penonton juga!” tambahnya.