Liku-Liku Kehidupan Berumah Tangga Menerusi Melodrama Terbaru ‘Cina Buta’

‘Adakah nilai cinta lebih besar daripada nilai wang?’ ini adalah persoalan utama dalam drama yang kini ditayangkan di Astro Ria. Cina Buta, memaparkan kisah seorang lelaki yang sanggup mencantumkan talian perkahwinannya semula selepas talak tiga dengan mengupah ‘Cina Buta’ hanya untuk dirinya kembali bersama bekas isteri. 

perdamaian perceraian menerusi melodrama terbaru ‘cina buta’

Drama Cina Buta ini mengisahkan tentang pasangan suami isteri, Sharnaz dan Mia Sara yang mempunyai ego tinggi dan sering bergaduh sehingga mereka bercerai buat kali yang ketiga. Namun, Sharnaz masih sayangkan bekas isterinya dan ingin kembali bersamanya menerusi perkahwinan cina buta yang dibantah oleh Mia Sara sendiri kerana ia sudah terang bertentangan dengan agama. 

Barisan pelakon yang membawa watak dalam drama ini adalah Ungku Ismail Aziz sebagai Sharnaz, Nad Zainal sebagai Mia Sara dan Aliff Aziz sebagai Aliff, bakal menceritakan liku-liku kehidupan berumah tangga yang pasti akan memberi pengajaran terutamanya dalam hukum-hukum perkahwinan. 

Drama hasil karya daripada Shahrulezad Mohameddin selaku penerbit, penulis skrip serta pengarah ini telah ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula 9 November 2022, jam 10.00 malam secara eksklusif di slot MegaDrama melalui saluran Astro Ria (104).