Penyanyi dan penulis lagu British Ed Sheeran hadir ke Mahkamah Tinggi London pada Jumaat lalu untuk perbicaraan hak cipta melibatkan dakwaan bahawa lagu hitnya, “Shape of You” menggunakan frasa muzik daripada lagu lain.
“Shape of You”, yang dikeluarkan pada 2017, mendapat sambutan hebat untuk Sheeran dan kekal sebagai lagu paling banyak distrim di Spotify dengan jumlah strim melebihi 3 bilion.
Ia juga merangkul Sheeran dengan Anugerah Grammy untuk Persembahan Solo Pop Terbaik.
Bagaimanapun, dua penulis lagu iaitu, Sami Chokri dan Ross O’Donoghue, mendakwa bahawa lagu tersebut mempunyai persamaan muzik dengan lagu yang ditulis mereka yang berjudul “Oh Why”.
Sheeran, yang hadir ke perbicaraan itu, menafikan dakwaan tersebut.
Pada 2018, Sheeran dan penulis lain yang dikreditkan untuk lagu itu melancarkan tindakan undang-undang terhadap Chokri dan McDaid, yang kemudian menyebabkan pasangan penulis lagu itu melancarkan tuntutan mereka sendiri berkenaan “pelanggaran hak cipta, ganti rugi dan akaun keuntungan berhubung dengan dakwaan pelanggaran”.
Pertempuran undang-undang itu dijangka berlansung selama tiga minggu, dengan hakim Antony Zacaroli mendengar kedua-dua lagu tersebut di mahkamah pada Jumaat lalu.
Peguam Andrew Sutcliffe, yang mewakili penulis lagu yang terkilan itu, memberitahu hakim bahawa “persamaan antara kedua-dua ‘hook’ itu menarik perhatian” dan lagu-lagu itu “berbunyi hampir serupa”.
“Ini sudah tentu tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa penyalinan telah berlaku tetapi ia adalah titik permulaan yang penting,” tambahnya.
Sutcliffe mencadangkan bahawa Sheeran adalah sejenis individu yang “meminjam idea” dan kadang-kadang tidak akan mengakuinya.
Peguam Sheeran telah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia dan penulis bersamanya tidak ingat pernah mendengar lagu “Oh Why” pada masa itu.
Sementara itu, PRS for Music, yang membayar royalti untuk penggunaan muzik, telah menghentikan sementara pembayaran royalti.
Sumber: [1]