Bekas anggota Girls’ Generation iaitu Jessica terpalit dengan kontroversi yang mengatakan dia berhutang sebanyak RM27 juta atas jenama fesyennya, BLANC & ECLARE.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Coridel Entertainment, Tyler Kwon tampil menafikan laporan yang mengatakan jenama fesyen Jessica, BLANC & ECLARE menghadapi tuntutan mahkamah atas pinjaman yang belum dibayar.
Pada 28 September, Tyler Kwon sebagai Ketua Pegawai Eksekutif agensi Jessica, yang juga merupakan teman lelakinya, menjelaskan laporan tular oleh media Hong Kong baru-baru ini yang mendakwa BLANC & ECLARE yang ditubuhkan Jessica pada 2014 dan dikendalikan mereka bersama, telah disaman oleh Joy King Enterprises berikutan hutang tertunggak sebanyak AS$6.5 juta (RM27,196,000).
Memetik laporan berita Korea, MyDaily, Kwon menjelaskan bahawa situasi tersebut disifatkan sebagai sesuatu yang tidak adil kerana sebaliknya yang berlaku.
“Situasi ini dapat diselesaikan dengan mudah,” katanya.
“Ini bukan hutang peribadi Jessica, tetapi pinjaman yang dibuat kepada syarikat BLANC & ECLARE,” jelasnya lagi.
Merujuk kepada laporan asal itu, ia mengatakan pinjaman individu yang diberikan kepada Jessica, sekaligus menyebabkan personalitinya sebagai figura umum tercalar dan difitnah.
Menurut Kwon, BLANC & ECLAR pada mulanya meminjam AS$4 juta (RM16,736,000) daripada Spectra SPC, yang mana syarikat tersebut kemudian memindahkan pinjaman itu kepada Joy King Enterprises pada Ogos.
Menerusi pemindahan dalam jangka masa sebulan itu, Jong King Enterprises secara mendadak menuntut BLANC & ECLARE untuk membayar semula AS$6.5 juta (RM27,196,000), angka yang merangkumi faedah pinjaman hanya dalam tempoh dua minggu.
“Sejak pertama kali kami menerima pinjaman daripada Spectra SPC pada 2016, kami dengan tekun melunaskan pinjaman tersebut selama kira-kira tiga tahun. Kemudian, pada 2021, kerana situasi COVID-19, kami membuat perjanjian dengan Spectra SPC untuk memanjangkan jangka masa pinjaman lebih dari tempoh yang kami janjikan pada mulanya.
“Namun, pada Ogos, pinjaman tersebut dipindahkan ke Joy King Enterprises dan tanpa pengetahuan kami, Joy King Enterprises tiba-tiba mengunjungi kami dan berkata, ‘Bayar kembali pinjaman dalam tempoh dua minggu’,” jelas Tyler.
Tambahnya, “Kerana bulan September termasuk cuti umum, kami mengatakan sekiranya mereka memberi kami sedikit masa lagi, kami akan dapat menyelesaikan keseluruhan masalah itu, tetapi mereka menegaskan yang kami perlu membayar kesemuanya dalam tempoh dua minggu.
“Mengenangkan skala syarikat kami, pinjaman tersebut sememangnya dapat dilunaskan dengan mudah, tetapi membayar keseluruhan pinjaman ditambah bunga hanya dalam tempoh dua minggu, lagi-lagi sebaik sahaja pemindahan pinjaman tersebut, ia terlalu melampau,” ujar Kwon.
Sumber: [1]