
Menurut laporan The Telegraph, seorang lelaki warganegara Switzerland mengalami cedera parah selepas dihempap oleh seekor zirafah seberat 750 kilogram.
Kejaidan yang berlaku di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan itu terjadi selepas kenderaan mangsa dirempuh oleh binatang tersebut sebelum dia tercampak ke laluan bertentagan dan menghempap bumbung kenderaan yang dinaikinya.
Kesannya, lelaki tersebut mengalami cedera parah dan telah diselamatkan oleh pasukan penyelamat melalui udara. Buat masa ini, mangsa terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital berdekatan.
Isterinya yang turut berada di dalam kenderaan tersebut hanya mengalami luka ringan bersama dua pelancong yang lain. Bagaimanapun, haiwan yang memiliki ketinggian hampir lima meter itu telah terbunuh dalam kemalangan tersebut.
Menurut jurucakap taman negara tersebut, Ike Phaala, dia menyifatkan kemalangan itu sebagai satu perkara yang amat mengecewakan.
“Zirafah itu dirempuh dengan kuat sehingga rebah di atas kenderaan pelancongan yang datang dari arah bertentangan dan dipandu oleh sepasang suami isteri dari Switzerland.
“Kami enggan membuat spekulasi. Kami sudah memberi peringatan kepada semua pelancong bahawa haiwan di dalam taman ini mempunyai hak di atas jalan raya dan boleh muncul secara tiba-tiba,” jelasnya.
Zirafah merupakan haiwan darat yang terbesar di dunia dan boleh membesar sehingga enam meter tinggi dengan berat mencecah 800kg.
Sumber: Astro Awani