Premis Yang Tidak Kibar Jalur Gemilang Di Ipoh Boleh Dikenakan Denda RM250

Denda sebanyak RM250 akan dikenakan terhadap premis perniagaan di bandar Ipoh yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan ini.

premis yang tidak kibar jalur gemilang di ipoh boleh dikenakan denda rm250

Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, langkah tersebut adalah bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan dan nilai kemerdekaan sekaligus menyemarakkan tarikh bersejarah negara ini.

“Kompaun sebanyak RM250 akan diberikan kepada premis yang tidak mematuhi arahan memasang Jalur Gemilang,” kata beliau.

Tambah Rumaizi, pihaknya bagaimanapun tidak akan mengeluarkan kompaun begitu saja. Sebaliknya, mereka akan terlebih dahulu mengambil pendekatan menasihatkan pemilik premis yang tidak memasang Jalur Gemilang.

“Pendekatan itu tertakluk di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan kerana melanggar syarat lesen seperti mana syarat-syarat am yang tertera di belakang setiap lesen premis perniagaan.

“Memang akan ada tindakan kompaun, tetapi biasanya kita akan menasihatkan pemilik premis terlebih dulu,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa yang paling utama adalah semangat untuk menyambut Hari Kebangsaan.

“Apa yang penting semangat dan jiwa kita untuk menyambut Hari Kebangsaan itu lebih utama,” ujarnya.


Sumber: HMetro