Seorang lelaki yang juga suami terpaksa menuruti permintaan isterinya yang mahukan sebuah motosikal, jika enggan berpisah dengannya.
Kejadian berlaku di Jawa Timur, Indonesia selepas lelaki yang dikenali sebagai Yoyok Adi, 37, melarikan sebuah motosikal milik seorang mangsa yang diletakkan di tepi jalan.
Adi bersama rakannya, Yusuf, 35, pada mulanya menyamar sebagai penghibur jalanan, sebelum mereka melarikan motosikal yang berada disitu.
Aksi mereka bagaimanapun berjaya dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV), sebelum polis mengesan dan menahan kedua-dua pelaku.
Menurut Adi, beliau melakukan jenayah itu selepas diugut isterinya untuk diceraikan andai dia gagal memberikan sebuah motosikal dalam masa tiga hari.
“Isteri saya mengugut dengan meminta cerai. Disebabkan saya tidak memiliki motosikal selama ini, dia berlaku curang dengan lelaki lain kerana saya seorang yang tidak berharta,” ujarnya.
Disebabkan takut kehilangan isterinya itu, Adi nekad melakukan jenayah mencuri motosikal, dengan bantuan rakannya, Yusuf.
Kedua-dua pelaku masih dalam tahanan polis untuk siasatan selanjutnya.
Sumber: Kompas