
Yusri Che Lah umumkan dia akan tinggalkan pasukan Kelantan musim depan. Pengendali The Red Warriors itu memaklumkan perkara tersebut dalam satu temuramah bersama Nadi Arena. Musim ini merupakan tahun ketiga Yusri mengendalikan pasukan Kelantan.
Inilah masalah terbaru yang dihadapi FA Kelantan musim ini. Ketua jurulatihnya tak nak sambung kontrak. Kita semua tahu yang KAFA berdepan pelbagai masalah musim ini. Bagai jatuh ditimpa tangga. Lepas satu, satu masalah yang datang. Antaranya, tunggakan 4 bulan dan pemain tarik diri disebabkan gaji mereka tidak dibayar.

Kalau korang nak tahu, 4 pemain telah tinggalkan pasukan Kelantan sebab tak dibayar gaji. Yang pertama 'angkat kaki' ialah pemain import Korea Selatan, Kang Seung-Jo. Baru-baru ini, Yusri maklumkan 3 lagi pemain berbuat demikian namun tidak mendedahkan nama mereka.
Kelantan akan mulakan saingan Liga Premier pada 22 Ogos berdepan UKM FC mungkin tanpa bilangan pemain yang mencukupi. The Red Warriors kini miliki 22 pemain sahaja. Seorang tengah pertimbang untuk tarik diri daripada pasukan, 3 lagi cedera dan 2 penjaga gol. Maknanya, Yusri Che Lah hanya ada 16 pemain sahaja untuk harungi baki 8 perlawanan Liga Premier dan juga Piala Malaysia hingga hujung tahun. Nak gunakan pemain skuad Piala Presiden, mereka pun tak berlatih sejak PKP dilaksanakan Mac lalu. Hmm.

Rasanya macam dah teruk sangat kan situasi Kelantan? Belum cukup teruk sebenarnya. Skuad kendalian Yusri Che Lah ni baru ditolak 3 mata oleh FAM kerana gagal lunaskan tunggakan gaji seperti dijanjikan. Ini tunggakan yang sebelum-sebelum ni tau. Tak termasuk yang 4 bulan musim ni. Kini Kelantan berada di kedudukan ketiga tercorot dengan 1 mata. Nak tahu sasaran awal musim Kelantan? Layak ke Liga Super dan sekurang-kurangnya raih 1 piala. Yusri sendiri akui susah nak capai dengan masalah yang menimpa pasukannya.
Namun, Yusri tegaskan dia akan terus bersama Kelantan musim ini. Sebabnya dia rasakan ramai pemain muda Kelantan yang berbakat dan mempunyai masa depan cerah. Katanya lagi, dia berharap pemain muda ini dapat pamer prestasi cemerlang untuk baki saingan Liga Malaysia walaupun tidak dibayar gaji. Walaupun sukar, namun ianya bagi membuka peluang pemain-pemain ini dilamar pasukan lain. Tambah Yusri, setidaknya karier mereka tidak tamat terlalu awal.
Isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia bukan perkara baru. Ini juga bukan kali pertama Kelantan berdepan masalah ini. Di mana salah dan silapnya pasukan di Malaysia ni sehinggakan isu ini terus berlaku? Memang tak ada penyelesaian ke? Semoga pemain dan staf pasukan Kelantan menerima semula hak mereka. Kepada pasukan, berbelanjalah mengikut kemampuan kewangan. Kenapa perlu berbelanja besar kalau sampai menganiaya pemain dan staf?
Oleh: Karami Kamel