COVID-19: Sistem Kesihatan Indonesia Kini Lumpuh, Doktor Terpaksa Memilih Pesakit

Akibat lonjakan kes COVID-19 di Indonesia baru-baru ini, golongan doktor di negara terbabit dihadapkan kesukaran untuk merawat kesemua pesakit yang dimasukkan ke hospital.

covid-19: sistem kesihatan indonesia kini lumpuh, doktor terpaksa memilih pesakit

Seorang pakar perubatan kecemasan di Indonesia yang dikenali sebagai Rintawan berkongsi dia tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa memilih pesakit yang mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya lagi yang bekerja di Hospital Muhammadiyah Lamongan di Jawa Timur, tempat tidur di bilik kecemasan dan pengasingan semuanya telah penuh dihuni pesakit COVID-19 sehingga menyebabkan terdapat sebilangan pesakit yang datang ke hospital terbabit terpaksa menunggu hingga tiga hari untuk mendapatkan bilik.

Selain itu, sebahagian besar pesakit datang dengan gejala yang teruk dan kekurangan oksigen.

Akui Rintawan, kakitangan hospital terbabit tidak dapat merawat kesemua pesakit yang datang ke hospital.

“Kami terpaksa mengecualikan mereka, yang secara teorinya, diberi rawatan apa-apa pun, tidak akan bertambah baik. Tidak mudah untuk melakukan keputusan,” katanya.

Berikutan itu, Rintawan mengatakan timbulnya tekanan psikologi dalam kalangan pegawai perubatan akibat jumlah pesakit yang memerlukan rawatan intensif kebiasaannya lebih tinggi berbanding dengan jumlah bilik dan ventilator yang tersedia.

“Sebagai contoh, jika kita memilih seseorang untuk dirawat dengan ventilator, tetapi setelah empat hingga lima hari mereka tidak sembuh, segelintir daripada kami akan terfikir ‘bagaimana jika diberikan kepada pesakit lain semalam, adakah mereka akan selamat?’ Ia menjadi beban moral bagi kami,” lanjutnya.

Tambahnya lagi, sepanjang 18 tahun dia berkecimpung dalam bidang perubatan kecemasan, dia tidak pernah melihat pusat kemudahan menghadapi krisis seteruk ini, biarpun ketika terjadinya bencana besar seperti tsunami Aceh pada 2004.

“Memandangkan wabak ini merebak secara meluas, sukar untuk menolong kawasan lain kerana kita sendiri pun sukar untuk bertahan,” katanya.

Terangnya lagi, kebanyakan kakitangan yang berkhidmat tidak mempunyai masa untuk melakukan kuarantin kendiri kerana harus terus bekerja akibat kekurangan kakitangan.

Menurut Data Report COVID-19 yang dikeluarkan, sejak wabak COVID-19 pertama kali melanda Indonesia, sekurang-kurangnya sejumlah 1,183 pekerja kesihatan telah meninggal dunia dengan jumlah tersebut meningkat secara ketara antara Jun hingga Julai tahun ini.

“Secara fungsinya, kita dapat mengatakan bahawa kemudahan kesihatan telah runtuh,” tambahnya.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN