COVID-19: Kit Ujian Antigen Buatan Tempatan Bakal Dijual Kepada Orang Awam Bermula 19 Julai

Kit ujian kendiri pantas antigen COVID-19 buatan Malaysia yang pertama, ‘Kit Ujian Pantas Antigen Salixium COVID-19’ keluaran MeDKAD, akan mula dijual kepada orang awam pada 19 Julai ini.

covid-19: kit ujian antigen buatan tempatan bakal dijual kepada orang awam bermula 19 julai

Kongsi Pengurus Projek MeDKAD, Syahriah Razak, kit ujian pantas itu berupaya mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.

Prosesnya hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk dilakukan dan hasilnya akan dinilai menggunakan jalur yang dapat dilihat dengan jelas, yang akan mengesahkan kewujudan antigen.

“Kewujudan atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam persampelan akan ditunjukkan menerusi jalur berwarna merah jambu/ungu di kit tersebut. Sekiranya sampel berkenaan tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul, menunjukkan hasil ujian adalah negatif,” jelasnya menerusi satu kenyataan.

“Sebagai pengawalan prosedur, jalur warna kit yang kelihatan itu mengesahkan persampelan yang betul tanpa mengira sama ada wujud atau tiada antigen SARS-CoV-2 dalam sampel tersebut,” lanjutnya.

Sebagai tambahan, sebanyak 242 sampel air liur atau calitan hidung diuji dengan Salixium dan hasil mendapati sensitiviti Salixium adalah 91.23% sementara ketepatannya adalah 100%.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob, MeDKAD mempunyai barisan saintis dan pakar perubatannya sendiri yang bukan sahaja berkebolehan untuk membangunkan kit ujian mereka sendiri, malahan juga untuk bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan luar negara bagi memastikan keberkesanan produk tersebut.

Syarikat teknologi kesihatan itu ditubuhkan sekitar 2016 dan berpusat di Shah Alam, Selangor serta bertujuan memberi perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan manfaat perubatan mereka dengan lebih baik.

 

Sumber: [1]