COVID-19: Jepun Akan Sumbang Vaksin AstraZeneca Kepada Thailand

Bermula Julai hadapan, Jepun bakal menyumbang vaksin AstraZeneca COVID-19 kepada Thailand.

covid-19: jepun akan sumbang vaksin astrazeneca kepada thailand

Perkara tersebut dikongsi oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul.

Hal itu susulan negara jiran yang memulakan kempen vaksinasi sejak 7 Jun lalu itu bergantung pada vaksin AstraZeneca yang dihasilkan sebuah syarikat tempatan, Siam Bioscience Co Ltd.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kesulitan yang terjadi sehingga menyebabkan kelewatan terhadap program vaksinasi terbabit.

Terdahulu, awal bulan ini, Jepun juga menghantar 1.24 juta dos vaksin yang sama ke Taiwan dan 1 juta dos lagi ke Vietnam pada minggu lalu.

Selain itu, negara matahari terbit itu juga pernah mengumumkan bahawa ia akan turut sama menyumbang vaksin AstraZeneca yang dikeluarkan di Jepun kepada Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Menurut Kedutaan Jepun di Malaysia, penghantaran vaksin tersebut akan dibuat menjelang Julai sekiranya keadaan mengizinkan, dan akan segera membuat penyelarasan.

Dalam perkembangan lain, Thailand telah mencatatkan jumlah kes kumulatif COVID-19 sebanyak 221,000 kes dengan 26,873 kes sembuh dan 1,658 kes kematian akibat wabak tersebut.

 

Sumber: [1] [2]