COVID-19: Jenazah Makin Meningkat, Barisan Hadapan Hadapi Cabaran Getir

Sejak kebelakangan ini, Malaysia mencatatkan angka COVID-19 yang tinggi berikutan jumlah kes yang ada kalanya menaik dan ada kalanya menurun sedikit.

covid-19: jenazah makin meningkat, barisan hadapan hadapi cabaran getir

Angka korban COVID-19 yang tinggi itu tidak hanya meruntun jiwa banyak pihak, namun turut menyebabkan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) berdepan situasi getir berikutan masalah tunggakan dalam pengurusan mayat akibat wabak tersebut dan kes kematian bukan COVID-19.

Berbeza daripada pengebumian pada kebiasaannya, pengurusan jenazah COVID-19 perlu dijalankan dengan teliti oleh pasukan petugas barisan hadapan dan disegerakan untuk dikebumikan untuk mereka yang beragama Islam atau dibakar bagi bukan Islam.

Menurut Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Salmah Arshad, peningkatan jumlah kematian di rumah atau brought-in-dead (BID) melibatkan wabak itu semakin merunsingkan.

Beliau berkata ketika gelombang pertama pandemik itu, kematian COVID-19 di luar wad hanya satu atau dua kes sahaja sebulan berbanding kini yang mencecah tiga atau empat kes seumpamanya dalam sehari.

“Berbanding tahun lepas, kita jarang menerima kes (mati) di rumah, (sebaliknya) kita dapat kes di hospital. Maksudnya pesakit dimasukkan di wad, dirawat dan mati di hospital.

“Yang merunsingkan sekarang ialah kematian di luar hospital, yang tak sempat dirawat. Simptomnya terlalu cepat dan ini menyedihkan.

“Sememangnya terdapat perubahan... dulu memang kita jangka kematian melibatkan pesakit yang berusia dan ada penyakit seperti jantung, buah pinggang dan obesiti.

“Itu faktor-faktor yang menyumbang kepada risiko kematian pada tahun lepas, iaitu pada gelombang pertama.

“Gelombang ketiga kita tak dapat jangka sebab tak mengira usia, ada yang muda dan berusia. Paling muda yang kita terima meninggal di rumah adalah umur 20-an dan tiada penyakit.

“Kini semua kena berhati-hati dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana semua boleh terdedah dan mati kerana COVID-19,” katanya dan menasihati rakyat agar berjaga-jaga meskipun dengan jiran sebelah.

 

Sumber: [1]