COVID-19: Contohi Taiwan Yang Berjaya Kekang COVID-19 Tanpa 'Lockdown'

Di kala kes COVID-19 kian meningkat, Malaysia diminta untuk mengambil contoh teladan daripada Taiwan yang berjaya mengekang penularan pandemik tersebut tanpa menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (lockdown).

covid-19: contohi taiwan yang berjaya kekang covid-19 tanpa 'lockdown'

Perkara tersebut diperjelaskan Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang merupakan seorang Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jelasnya, apa yang dilakukan di Taiwan adalah kesemua pihak bekerjasama dalam berdepan ancaman pandemik ini.

“Mereka menutup sempadan. Kedua, mereka juga menggunakan teknologi digital secara sangat menyeluruh. Jadi, ujian, pengesanan kontak, isolasi dan semua ini disokong oleh teknologi digital.

“Ketiga, mereka betul-betul menghayati semua pendekatan masyarakatnya, semua agensi bekerjasama termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik bekerjasama,” ujarnya.

Penjelasan tersebut diberi ketika beliau ditemu bual Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menerusi satu program yang diadakan pada Rabu lalu.

Beliau memberikan jawapan sedemikian ketika ditanya mengenai negara-negara yang tidak menjalankan perintah sekatan pergerakan atau lockdown namun ekonomi mereka tetap sahaja bergerak seperti biasa dan penduduk tidak dijangkiti wabak tersebut seteruk yang dijangkakan.

Menurutnya lagi, terdapat tiga buah negara yang turut berjaya membendung COVID-19 iaitu Vietnam, Bhutan dan tidak ketinggalan, sebuah negera yang disifatkan sebagai paling misikin di Afrika, Rwanda.

“Ya, Rwanda adalah sebuah negara miskin di Afrika. Rwanda selepas mengalami kesukaran namun mereka bangkit membina (semula) sistem kesihatan, bukan sahaja untuk respons COVID-19 tetapi mereka juga adalah negara contoh dalam menangani HIV,” ujarnya.

 

Sumber: [1]