Berat mata memandang, berat lagi mata yang memikul.
Sejak semalam, tular di media sosial satu video yang memperlihatkan seorang bapa mendukung anaknya yang telah meninggal dunia, dipercayai akibat COVID-19.
Menurut laporan The Hindustan Times, video berkenaan dirakamkan di sekitar Jalandhar, India sekali gus memberikan sekilas pandang mengenai situasi kesihatan yang semakin merosot di negara terbabit.
Lelaki tersebut dikenal pasti sebagai Dalip Kumar, dan memberitahu media tempatan bahawa anaknya, Sonu yang baru sahaja berusia 11 tahun, mengalami gejala demam sejak dua bulan lalu.
Dia kemudian memilih untuk merawat anaknya itu dengan menggunakan perubatan tradisional, namun keadaan Sonu hanya bertambah buruk hingga terpaksa dibawa ke Hospital Awam Jalandhar.
Kanak-kanak tersebut kemudian dipindahkan ke Hospital Guru Nanak dan meninggal dunia pada 9 Mei lalu.
Menurut Times of India, laporan kesihatan yang diperoleh menunjukkan Sonu dijangkiti wabak COVID-19 dan diberi rawatan, namun meninggal dunia.
Sehari selepas kematiannya, Kumar cuba sedaya upaya untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans namun gagal, hingga dia terpaksa mendukung mayat anaknya itu menuju ke pusat pembakaran mayat.
Susulan video terbabit yang tular, ia turut mendapat perhatian daripada Timbalan Pesuruhjaya Jalandhar, Ghansjyam Thori yang mengarahkan siasatan berhubung insiden itu.
Namun menerusi satu kenyataan, Thori menjelaskan bahawa pihak hospital menafikan kanak-kanak tersebut meninggal dunia kerana COVID-19, sebaliknya ia berpunca daripada radang perut dan usus yang dialaminya.
Kerana sebab itu, hospital tersebut tidak diwajibkan untuk membantu keluarga tersebut dalam mengendalikan mayatnya.
Dalam pada itu, siasatan terperinci mengenai insiden berkenaan masih dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sumber: [1]