Ciri Baru MySejahtera Diperkenal Khusus Untuk PICKids, Boleh Atur Janji Temu Ikut Kesesuaian Masa

Aplikasi MySejahtera baru sahaja mewujudkan fungsi baru yang dikenali sebagai Sistem Janji Temu untuk memberi kebebasan kepada ibu bapa bagi memilih kesesuaian tarikh, masa serta lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam mendapatkan janji temu untuk Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids).

ciri baru mysejahtera diperkenal khusus untuk pickids, boleh atur janji temu ikut kesesuaian masa

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit MySejahtera, Dr Husni Za’eem Abd Hadi, ia merupakan antara penambahbaikan yang dilakukan bagi menggalakkan pendaftaran vaksin kepada kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun yang bermula pada Khamis.

Tambahnya, selepas pendaftaran itu dibuat, ibu bapa akan menerima pautan secara berperingkat menerusi notifikasi di aplikasi MySejahtera atau sistem pesanan ringkas (SMS).

“Saya ingin tekankan pada ibu bapa yang telah mendaftarkan anak-anak untuk mendapat vaksin COVID-19, selain menunggu mendapatkan pautan, paling utama adalah memastikan jenis vaksin yang dipilih.

“Pastikan anda memilih Pfizer untuk kanak-kanak sebelum membuat pilihan tarikh, waktu, dan lokasi PPV dalam memastikan anda mendapatkan vaksin yang betul.

“Seterusnya (pastikan) anak-anak yang telah cukup tarikh lahir, contoh lahir pada 3 Februari (genap lima tahun), setelah 3 Februari baru boleh membuat janji temu,” katanya.

Selain PPV WTCKL, dua lagi PPV Integrasi yang mula beroperasi pada 3 Februari di Lembah Klang adalah Axiata Arena, Bukit Jalil dan Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Sistem tempahan janji temu tersebut boleh didapati di aplikasi MySejahtera versi 1.1.5.

 

Sumber: [1]