Susulan daripada konflik peperangan yang berlaku di bumi Gaza ketika ini, dua syarikat gergasi teknologi China telah membuang nama pendatang haram Israel dalam peta digitalnya.
Ia disedari pengguna yang melayari enjin pencarian Baidu dan Alibaba.
Pada peta digital Baidu, hanya terdapat garis sempadan dan kota utama yang diakui di peringkat antarabangsa, manakala pada talian Alibaba, Amap, tiada lagi nama Israel pada wilayah Palestin yang diduduki secara haram.
Bagaimanapun menurut jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, pihaknya menafikan spekulasi Beijing mengubah pendirian tentang kewujudan Israel.
"Seperti yang anda tahu, China dan Israel mempunyai hubungan diplomatik.
"Nama Israel masih terdapat pada peta standard digital pihak berkuasa China," ujarnya.
Negara itu sebelum ini mengkritik tindakan rejim Zionis yang berterusan membedil bumi Gaza dan dianggap melampaui batas.
Untuk info, pendatang haram Israel tanpa henti membedil bumi Palestin, susulan daripada tindak balas terhadap serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.
Tindakan Israel ini telah mendapat kecaman besar dunia, termasuk dari anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana mereka menyasarkan orang awam, hospital dan sekolah.
Malah, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini turut enggan menghentikan serangan hingga menyebabkan kematian orang awam di Gaza melebihi 8,000 orang, dengan sebahagian besar mangsa adalah kanak-kanak dan wanita.
Sumber: Sinar Harian / CNN