Chen EXO Selesai Perkhidmatan Tentera

Anggota kumpulan K-Pop popular, Chen EXO telah menamatkan perkhidmatan tenteranya di Korea Selatan.

chen exo selesai perkhidmatan tentera

Chen yang berusia 29 tahun dilepaskan daripada perkhidmatan terbabit pada 25 April, iaitu kira-kira 18 bulan selepas mendaftar pada 26 Oktober 2020.

Dia bermula sebagai tentera aktif tetapi statusnya kemudian ditukar kepada tentera simpanan sepenuh masa kerana perkahwinannya dan kelahiran anak mereka, lapor media Korea.

Di bawah undang-undang Akta Perkhidmatan Ketenteraan Korea, tentera simpanan sepenuh masa ditakrifkan sebagai kakitangan yang dipanggil dan menjalankan perkhidmatan tugas aktif untuk menyokong pertahanan tanah air serta hal ehwal yang berkaitan dengannya, selepas melakukan perkhidmatan aktif sebagai askar bertugas untuk tempoh tertentu.

Perkara 65 undang-undang negara itu menyatakan bahawa jika seseorang individu itu berada dalam perkhidmatan bertugas aktif (termasuk mereka yang menjalankan perkhidmatan ketenteraan seperti yang ditetapkan dalam Perkara 21, 24 atau 25) ingin melakukan perkhidmatan simpanan sepenuh masa kerana kelahiran anak, dia boleh dipindahkan kepada perkhidmatan simpanan, seperti yang ditetapkan oleh Keputusan Presiden.

Chen merupakan ahli keempat EXO yang menamatkan perkhidmatan tentera selepas Xiumin, D.O. dan Suho.

Pada ketika ini, Chanyeol dan Baekhyun sedang memenuhi perkhidmatan tentera mereka bermula tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, SM Entertainment mengumumkan bahawa Chen, bersama Suho dan Kai EXO akan mengambil bahagian dalam konsert SMTown Live 2022: SMCU Express @Tokyo yang akan diadakan pada 27 dan 28 Ogos tahun ini Tokyo Dome.

Pada 19 Januari lalu, SM Entertainment mengumumkan bahawa isteri Chen telah melahirkan anak kedua mereka.

“Memang benar isteri Chen melahirkan anak kedua mereka,” kata SM Entertainment.

Bayi kedua Chen dilahirkan hampir setahun sembilan bulan selepas isterinya melahirkan cahaya mata pertama mereka pada 29 April 2020.

Pada Januari 2020, Chen mendedahkan bahawa dia akan melangsungkan perkahwinan bersama pasangan pilihannya.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN