Tahukah anda bahawa kucing juga punya coronavirus mereka yang tersendiri?
Ia dikenali sebagai peritonitis kucing berjangkit atau feline infectious peritonitis (FIP) dan merupakan penyakit virus yang disebabkan oleh coronavirus kucing yang menyerang kucing liar dan domestik.
Namun, coronavirus jenis ini berbeza dengan coronavirus yang menyebabkan COVID-19 pada manusia.
Walaupun FIP dipercayai tidak menular, namun ia adalah penyakit yang sangat serius. Apabila seseekor kucing itu mendapat FIP, ia akan mula menunjukkan beberapa tanda yang tidak menyenangkan, dan dalam kebanyakan kes juga, ada kucing yang menemui maut akibat FIP.
Tanda-tanda awal FIP adalah berbeza-beza namun sering merangkumi demam yang pasang surut, kehilangan selera makan dan kehilangan tenaga.
Terdapat dua jenis FIP iaitu FIP kering dan FIP basah. Kucing yang dijangkiti FIP boleh mempunyai gejala daripada salah satu jenis FIP terbabit atau juga gabungan daripada kedua-duanya.
FIP kering menyebabkan jangkitan dan luka radang di sekitar saluran darah di badan kucing. Jangkitan ini mampu mempengaruhi otak, hati, ginjal, paru-paru dan juga kulit.
FIP kering sering menyebabkan kucing mengalami sawan dan bergerak dengan cara yang tidak normal atau tidak terkoordinasi. Dalam beberapa kes, sesetengah kucing akan mengalami dahaga dan kencing yang berlebihan, muntah, penurunan berat badan dan penyakit kuning.
Jenis yang kedua ialah FIP basah. Kucing yang mengalami FIP basah akan mengalami masalah perut buncit kerana terdapat cairan yang terisi di dalam perutnya. Cecair ini juga mampu mencecah hingga ke dada, sehingga menyebabkan kucing sukar bernafas.
FIP jenis ini berupaya menyebabkan kerosakan pada saluran darah, mengakibatkan keradangan dan cairan bocor dari darah ke perut dan dada.
Untuk mengelakkan kucing anda daripada dijangkiti FIP, anda disarankan untuk mengambil langkah-langkah berikutan terhadap kucing belaan anda:
- Jaga kucing anda dengan sebaik yang mungkin.
- Pastikan kotak najis kucing anda sentiasa bersih.
- Jauhkan kotak najis tersebut dari piring makanan dan air.