BTS Kini Berkongsi Bumbung Bersama Barisan Artis Hollywood

Syarikat hiburan Korea Selatan, HYBE, yang sebelumnya dikenali sebagai Big Hit Entertainment mengumumkan bahawa ia telah membeli saham terbesar dalam Ithaca Holdings milik Scooter Braun.

bts kini berkongsi bumbung bersama barisan artis hollywood

Transaksi tersebut akan menggabungkan pelbagai perkhidmatan antara kedua-dua syarikat tersebut termasuklah pengurusan, perkhidmatan label dan penerbitan buat barisan artis global yang berpengaruh seperti Justin Bieber, Ariana Grande dan Demi Lovato.

Turut menyertai barisan tersebut ialah kumpulan K-Pop BTS dan TXT yang dinaungi HYBE.

Perkara tersebut sekali gus menjadikan kumpulan masyhur K-Pop BTS berkongsi pengurusan yang sama bersama bintang-bintang Amerika Syarikat yang disebutkan nama tadi.

HYBE bakal melakukan pembelian tersebut melalui anak syarikat miliknya HYBE America, dengan membeli 100% Ithaca Holdings termasuk hartanahnya seperti SB Projects dan Big Machine Label Group.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ithaca, Scooter Braun bakal menyertai lembaga pengarah HYBE manakala Scott Borchetta pula kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Big Machine Label Group.

Menurut pengasas dan pengerusi HYBE, Bang Sihyuk, beliau tidak pernah menjangkakan bahawa kerjasama antara kedua-dua syarikat tersebut bakal berlaku.

Apa yang terjadi merupakan permulaan buat mereka dalam mencetuskan sinergi serta melangkaui sempadan dan merapatkan jurang budaya.

Tambahnya, “Nantikan kemungkinan HYBE dan Ithaca Holdings yang tidak berkesudahan, dan paradigma baru yang akan dijalinkan menerusi perkongsian dalam industri muzik.”

 

Sumber: [1]