Menjelang bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, ramai kini mula membuat persiapan seperti mengemas masjid dan surau serta menyediakan bahan mentah untuk masakan ketika berbuka dan sahur.
Lebih menarik, negara jiran kita iaitu Brunei Darul Salam dilapor telah memendekkan waktu bekerja kepada kakitangan kerajaan kepada enam jam sehari sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
Menerusi satu surat pekeliling yang diedarkan Jabatan Perdana Menteri Brunei, titah perkenan Sultan Brunei merangkumi waktu bekerja di kementerian dan jabatan kerajaan disana.
Menerusi pekeliling itu, waktu bekerja pada bulan Ramadan bagi kakitangan awam ditetapkan dari jam 8 pagi hingga 2 petang, manakala pada Jumaat pula dari 8 pagi hingga 11.30 pagi.
Sementara itu bagi pekerja yang menerima gaji hari, waktu bekerja hendaklah dikurangkan selama satu jam dari waktu bekerja biasa dan penentuan waktu mula bekerja adalah tertakluk kepada budi bicara kementerian dan jabatan masing-masing.
Pengumuman itu adalah satu perkara biasa yang diamalkan di Brunei, namun ia nyata menarik perhatian warganet dari negara Malaysia yang rata-rata berharap agar pendekatan sama dibuat disini.
Sumber: Radio Televisyen Brunei