Britain bakal memansuhkan semua sekatan berkaitan COVID-19 pada hujung bulan ini, demikian menurut Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.
Pemansuhan itu turut melibatkan kuarantin kendiri sekiranya seseorang itu disahkan positif COVID-19.
Ia juga bagi memastikan seluruh Britain meraikan kebebasan bersama meskipun peraturan kuarantin kendiri dijadualkan tamat pada 24 Mac depan.
“Saya akan membentangkan rancangan hidup bersama Covid-19 dalam sesi parlimen sejurus semua anggota kembali bertugas pada 21 Februari ini.
“Diharapkan selepas pembentangan itu, peraturan kuarantin kendiri dapat ditamatkan dalam tempoh beberapa hari,” kata Johnson.
Pun begitu, hasrat Johnson mendapat tentangan beberapa anggota kabinet dan pakar kesihatan, tambah pula ia dibuat bagi memenangi hati rakyat selepas isu melibatkan dirinya berparti semasa perintah berkurung.
Cadangan itu turut dipertikaikan sekiranya seseorang itu positif COVID-19, adakah dia perlu hadir bekerja di pejabat. Namun Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Rosie Bate-Williams menjelaskan kekeliruan itu:
“Masyarakat perlu faham, itu bukan apa yang kerajaan cadangkan. Sekiranya anda tidak sihat dan mempunyai apa-apa jenis penyakit berjangkit, secara logiknya pasti tidak akan hadir bekerja.
“Apa yang kerajaan akan lakukan adalah menghapuskan peraturan domestik berkaitan kuarantin dari segi undang-undang. Selepas itu, semua terletak pada penilaian kendiri masing-masing,”
Peralihan fasa pandemik kepada endemik ini telahpun dibincangkan sejak setahun lalu dan masyarakat secara keseluruhannya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
“Peralihan fasa Britain ke era endemik membuktikan hasil kerja keras rakyat negara ini akhirnya membuahkan hasil.
“Kerajaan berterima kasih kepada semua rakyat yang mengikuti program vaksinasi dan dos penggalak semasa perayaan Krismas,” jelasnya lagi.
Setakat ini, hanya Denmark dan Sweden yang sudah memansuhkan hampir kesemua sekatan COVID-19, namun mereka masih mengekalkan peraturan kuarantin kendiri bagi mereka yang diuji positif COVID-19 dan juga pengunjung luar negara.
Sumber: [1]