Brazil Semakin Bergelut Dengan COVID-19

Baru-baru ini, Brazil buat pertama kalinya telah merekodkan jumlah kematian harian COVID-19 tertinggi apabila negara terbabit melepasi 3, 000 pesakit dalam tempoh 24 jam.

brazil semakin bergelut dengan covid-19

Sehingga kini, Brazil dikhabarkan telah melaporkan lebih daripada 298, 676 kematian akibat COVID-19 hingga keadaan di negara tersebut kini dikatakan sudah tidak terkawal.

Sementara itu, Presiden negara itu, Jair Bolsonaro dikritik hebat gara-gara pendiriannya yang memandang rendah terhadap pemakaian topeng muka dan perintah kawalan pergerakan.

Menerusi satu ucapan yang diberikannya, ucapnya, “Tidak lama lagi, kita akan meneruskan kehidupan normal kita.”

Ironinya, kira-kira empat minit selepas ucapan tersebut, kementerian kesihatan negara tersebut melaporkan bahawa terdapat 3, 251 orang telah meninggal dunia akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam terakhir pada hari kejadian.

Di kala banyak negara dari serata dunia berpusu-pusu mendapat vaksin untuk penduduk mereka, lain pula yang berlaku di Brazil.

Brazil kini dikatakan bergelut dengan program vaksinasi yang mana, dilaporkan 6.64 dos diberikan setiap 100 orang.

Bahkan, pengkritik turut mengatakan pemerintah Bolsonaro lambat dalam merundingkan bekalan vaksin hingga akhirnya menyebabkan Brazil menjadi semakin parah dalam menghadapi serangan COVID-19.

Setakat ini, kementerian kesihatan negara terbabit melaporkan bahawa ia telah mencatatkan lebih daripada 12.1 juta kes sejak wabak COVID-19 mula merebak.

 

Sumber: [1]