Avatar merupakan watak digital yang digunakan untuk mewakili seseorang individu itu dalam alam maya.
Meta sebelum ini telah memperkenalkan fungsi avatar untuk pengguna aplikasi media sosial mereka, dalam usaha mewujudkan ruangan digital yang membolehkan setiap watak avatar ini hidup dalam komuniti.
Terbaharu, Meta telah memperkenalkan satu lagi fungsi untuk avatar iaitu melakukan panggilan video, pada Instagram atau Messenger, dikenali sebagai 'Avatar Calling'.
Menurut Meta dalam satu kenyataan;
“Kami semua pernah ke sana: Satu panggilan masuk tetapi rambut anda kelihatan seperti kucar-kacir. Atau anda baru sahaja menangis. Kadang-kadang, kita tidak bersedia untuk membuka kamera. Bukankah bagus jika terdapat pilihan ketiga antara mematikan kamera dan hidupkan kamera untuk membolehkan anda berasa lebih hadir semasa panggilan?”
Menurut Meta lagi, dengan panggilan video menggunakan avatar ini, pengguna boleh melakukan pergerakan wajah seperti biasa namun hanya watak avatar yang muncul pada skrin.
Meskipun ketika ini ia nampak pelik, namun fungsi ini sedikit sebanyak membolehkan pengguna merasai dunia ‘metaverse’ yang diilhamkan oleh Mark Zuckerberg untuk sekian kalinya.
Sumber: Meta