Penduduk Britain yang mengalami masalah dengkur ketika tidur kini mungkin boleh menuntut bayaran bantuan untuk mengatasi masalah tersebut.
Memetik laporan Daily Star, Jabatan Kerja dan Pencen Britain menawarkan skim pembayaran bantuan, iaitu Pembayaran Kebebasan Peribadi (PIP), yang bernilai £156 (RM826) seminggu bagi membantu penduduk negara tersebut yang berdepan isu peningkatan kos sara hidup.
Sekadar perkongsian, dengkur ketika tidur yang berterusan boleh menjadi tanda kepada masalah apnea tidur. Apnea tidur merupakan gangguan tidur yang berpotensi menjadi penyakit serius yang mana pernafasan seseorang itu boleh terhenti berulang kali.
Demikian, bayaran yang diberikan setiap empat minggu itu tertakluk kepada mereka yang mempunyai keperluan kesihatan tertentu termasuk apnea atau keadaan kurang upaya.
Namun, untuk mendapatkan bantuan tersebut, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi individu termasuk perlu dinilai pegawai perubatan profesional terlebih dahulu dan mengalami kesukaran dalam kehidupan seharian sekurang-kurangnya selama tiga bulan.
Selain itu, mereka juga perlu menetap di Britain sekurang-kurangnya dua dari tiga tahun.
Sumber: Kosmo