Ketika ini sedang berlangsungnya kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar.
Meskipun pasukan jiran, Indonesia tidak layak beraksi pada Piala Dunia kali ini, negara itu memberi sumbangan cukup besar kerana bola rasmi yang digunakan adalah dihasilkan di Indonesia.
Menurut laporan, sebuah syarikat yang berpangkalan di daerah Madiun dalam wilayah Jawa Timur, menghasilkan bola rasmi Piala Dunia 2022 yang dikenali sebagai Al-Rihla.
Syarikat yang disebut sebagai PT Global Way, merupakan pengilang barangan sukan telah membuka kilangnya pada 2019 dan menggaji lebih 2,000 pekerja.
Menurut pemimpin daerah Madiun, penghasilan bola rasmi Piala Dunia dalam kawasan itu telah memberikan lonjakan terhadap ekonomi mereka sejak 2020 lagi.
Bola Al-Rihla yang bermaksud “perjalanan” dihasilkan dengan kerjasama Adidas.
Selain Adidas, PT Global Way juga mempunyai kerjasama dengan pelbagai jenama besar lain seperti Puma, UHLSport dan Mizuno untuk menghasilkan peralatan sukan yang dieksport ke seluruh dunia.
Sumber: BH