Pernah dengar tak pepatah mengatakan, makan sebiji epal setiap hari mampu menjauhkan kita daripada berjumpa doktor.
Pepatah ini bukanlah sekadar mitos kerana epal adalah antara buah yang bagus untuk tubuh badan dan sering dikaitkan dengan penurunan berat badan.
Persoalannya, sejauh manakah kebenaran ini dan adakah epal juga dalam masa sama mampu menambah berat seseorang?
Epal merupakan buah yang amat kaya dengan nutrein seperti vitamin, mineral dan lain-lain yang sangat bagus untuk tubuh badan. Buat penderita diabetes, buah epal mampu mengawal kadar glukosa disebabkan indeks glisemiknya yang rendah.
Selain itu, epal bagus untuk 2 organ utama dalam tubuh badan iaitu jantung dan otak. Ada kajian yang menunjukkan epal mempunyai antioksidan yang tinggi dan mampu menurunkan risiko kematian berkaitan jantung, serta mampu mengekalkan tahap sistem neurotransmitter yang penting bagi otak.
Itu khasiat epal untuk tubuh badan. Bagaimana pula dengan persoalan “Betul ke epal boleh menurunkan atau menaikkan berat badan?”
Menurut sebuah kajian yang dijalankan terhadap 124,086 orang dewasa selama 4 tahun lamanya, pengambilan buah epal mampu untuk menurunkan berat badan.
Untuk lebih spesifik, kajian ini menyatakan mereka yang kerap makan buah epal mampu untuk menurunkan purata berat badan kira-kira 1.24 paun atau 0.56 kg. Dalam pada itu, kajian ini turut mendedahkan ia bukan sahaja mampu menurunkan berat badan orang dewasa malahan mengelakkan risiko obesiti kanak-kanak.
Jadi, mungkin dapat disimpulkan di sini bahawa khasiat epal mampu untuk menurunkan berat badan jika buah ini diambil dengan kualiti dan kuantiti yang wajar.
Selain epal, banyak lagi buah yang hampir sama khasiatnya seperti tembikai, pir, jambu, pisang, avokado dan sebagainya. Apa yang penting adalah diet yang seimbang, gaya hidup sihat dan rujuklah kepada doktor untuk tahap kesihatan anda.
Sumber: Hello Doktor