Bertahun Tempuh Cabaran, Puteri Mako Akhirnya Bergelar Isteri Kepada Pasangan Rakyat Biasa

Puteri Mako dari Jepun, yang merupakan anak saudara kepada maharaja negara matahari terbit itu selamat melangsungkan perkahwinannya bersama rakyat biasa setelah melepaskan gelaran dirajanya.

bertahun tempuh cabaran, puteri mako akhirnya bergelar isteri kepada pasangan rakyat biasa

Dalam satu sidang akhbar terbaru bersama dengan suaminya itu yang dikenali sebagai Kei Komuro, Mako berkata perkahwinannya dengan Komuro berjaya mengharungi pelbagai cabaran walaupun terdapat tentangan yang meluas terhadapnya.

Mako yang kini dikenali sebagai Mako Komuro disahkan menghidap gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) awal tahun ini kerana pertunangannya yang dilanda skandal melibatkan wang, penelitian media yang sengit selain perpisahan selama tiga tahun dengan pasangannya ketika mereka masih mengikat tali pertunangan.

Menurutnya, pelbagai laporan tidak betul mengenai suaminya itu telah menyebabkan dia berasa takut, tertekan dan sedih.

“Kei tiada gantinya bagi saya. Bagi kami, perkahwinan adalah pilihan yang perlu untuk hidup sambil menghargai hati kami,” kata Mako pada sidang akhbar.

Selasa lalu, pasangan tersebut akhirnya menamatkan zaman bujang mereka bersama pada sebelah pagi selepas seorang pegawai dari Imperial Household Agency (IHA) yang menguruskan kehidupan keluarga tersebut, menyerahkan kertas kerja kepada pejabat tempatan yang mendaftarkan perkahwinan mereka.

Memetik laporan Reuters, perkahwinan diraja akan melibatkan satu siri upacara rasmi berserta majlis sambutan, namun pasangan tersebut tidak mengadakan sebarang upacara tersebut dan malah menolak AS$1.3 juta yang kebiasaannya diberikan kepada wanita kerabat yang meninggalkan keluarga mereka.

Dalam sidang akhbar yang sama, Komuro berjanji untuk melindungi dan menyokong wanita yang dicintainya itu.

“Saya cintakan Mako. Saya mahu menghabiskan satu-satunya kehidupan yang saya ada dengan orang yang saya sayang.”

 

Sumber: [1]