Selepas lebih dari 27 hari berada dalam tahanan penjara, anak kepada pelakon masyhur Bollywood Shah Rukh Khan, iaitu Aryan Khan akhirnya dibebaskan.
Bagi meraikan pembebasan ‘Putera Aryan’ itu, orang ramai berkumpul di luar penjara dan kediaman keluarga tersebut yang terletak di Mannat dengan paluan gendang, bunga api dan mercun.
Usai pembebasan tersebut, Shah Rukh dan isterinya, Gauri Khan dikatakan akan menghantar anak sulung mereka itu untuk mendapatkan sesi kaunseling khas berikutan khuatir terhadap kesihatan mentalnya.
Berdasarkan laporan Bollywoodlife, Aryan juga akan menjalani beberapa ujian kesihatan.
Sumber mendedahkan pakar nutrisi Aryan akan memantau pemakanannya memandangkan ibunya, Gauri risau akan makanan yang diberikan sepanjang berada dalam tahanan penjara.
Aryan yang bermungkinan tidak akan meninggalkan kediamannya pada ketika ini difahamkan mempunyai rutin wajib yang ketat termasuk melaporkan diri di pejabat NCM antara 11 pagi hingga 2 petang pada setiap Jumaat.
Terdahulu, Aryan ditahan bersama tujuh lain termasuk dua wanita oleh NCB di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai pada 3 Oktober lalu.
Menurut laporan The Times of India, NCB merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 130,000 rupee (kira-kira RM7,200) ketika kejadian tersebut.
Dalam perkembangan lain, Shah Rukh dijangka akan kembali ke set penggambaran menjelang bulan ini.
Sumber: [1]