Berjaya Atasi Gelombang Kedua, Indonesia Sedia Beralih Ke Fasa Endemik

Selepas berjaya mengawal penularan gelombang kedua COVID-19, Indonesia kini sedia untuk beralih ke fasa perubahan daripada pandemik ke endemik.

berjaya atasi gelombang kedua, indonesia sedia beralih ke fasa endemik

“Kita perlu bersedia untuk fasa perubahan ini dan belajar hidup bersama COVID-19,”kata Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Terdahulu, antara hujung Jun hingga awal Ogos lalu, negara tersebut berdepan dengan lonjakan kes COVID-19 berikutan varian Delta yang amat mudah berjangkit.

Pada 15 Julai, Pasukan Petugas C-19 Indonesia mencatatkan jumlah kes harian terbesar dengan 56,757 jangkitan serta angka kematian tertinggi seramai 2,068 korban pada 27 Julai.

Namun, perubahan mula dapat dilihat apabila negara tersebut merekodkan trend penurunan kes harian dan jumlah kematian sejak pertengahan bulan lalu yang mana sebanyak 3,779 kes positif dengan kurang dari 200 jumlah kematian dilaporkan pada Ahad semalam.

Susulan itu, kerajaan Indonesia turut membuka langkah dalam melonggarkan sekatan pergerakan awam yang disebut sebagai PPKM.

Sementara itu, kegiatan ekonomi seperti pusat beli-belah dan pejabat pula telah kembali beroperasi dengan kapasiti serta tempoh operasi terhad.

Pada ketika ini, sekurang-kurangnya 41.73 juta individu di Indonesia telah menerima vaksin lengkap dan 72.76 juta telah mendapat suntikan pertama vaksin itu.

 

Sumber: [1]