Berbasikal Di Lebuh Raya Boleh Didenda RM5,000 Penjara 12 Bulan

Awas kepada penunggang basikal yang suka menggunakan lebuhraya untuk aktiviti berbasikal kerana anda mungkin akan dikenakan tindakan denda hingga RM5,000 atau penjara 12 bulan jika didapati bersalah.

berbasikal di lebuh raya boleh didenda rm5,000 penjara 12 bulan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan telah melarang sebarang aktiviti berbasikal di lebuh raya tanpa kebenaran pihaknya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

 

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata, penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

 

Antara kesalahan yang boleh dikenakan hukuman seperti gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) akta sama, manakala Seksyen 112(3) pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

 

Mereka yang menunggang secara melulu pula akan diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

 

Selain itu, beliau berkata, penunggang yang didapati tidak memasang lampu depan dan belakang pada basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

 

Tambahnya, Kaedah 42 yang membawa hukuman sama boleh dikenakan jika basikal tiada brek dan loceng sebagai ciri keselamatan serta menunggang secara berkumpulan iaitu tidak berada dalam satu deretan.

 

"JSPT setakat hari ini hanya mengambil tindakan advokasi terhadap penunggang basikal yang berkayuh secara berkelompok di jalan raya.

"Polis tidak menghalang aktiviti berbasikal namun harus mematuhi aspek keselamatan ditetapkan,” kata beliau.

 

Berdasarkan rekod sebanyak 150 kes kemalangan membabitkan penunggang basikal, sejak Januari hingga September tahun ini telah dicatatkan. Daripada jumlah itu, sebanyak 71 kes kematian, manakala 24 cedera parah dan 55 lagi cedera ringan.

 

Penunggang basikal dinasikatkan untuk memilih lokasi dan masa yang sesuai iaitu diluar waktu puncak yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta mengundang risiko kemalangan.

 

Sementara itu, pemandu kenderaan juga diingatkan bertimbang rasa dan berhati-hati kerana penunggang basikal amat terdedah kepada bahaya semasa berada di atas jalan raya.

 

Sumber: [1]