Steven Gerrard bukanlah nama asing untuk pasukan Liverpool. Bekas pemain tengah itu menghabiskan hampir keseluruhan kariernya di Anfield, takkan lah penyokong Liverpool tak kenal kan? Kalau penyokong pasukan EPL lain pasti ingat saat Gerrard tergelincir ketika berdepan Chelsea dan mencium kamera di Old Trafford, penyokong Liverpool pula lebih mengingati saat-saat manis bekas kapten mereka ini. Kalau nak tengok penyokong Liverpool bercerita 7 hari 7 malam tanpa henti, sebut sahaja ‘Istanbul’.
Kenapa nama Gerrard tiba-tiba dikaitkan dengan Liverpool sekarang ni? Ok untuk pengetahuan korang, Gerrard baru je membimbing pasukan Rangers untuk muncul juara Liga Scotland buat kali ke-55 dalam sejarah pasukan itu – mengatasi musuh tradisinya Celtic yang miliki kurang satu kejuaraan. Ia juga merupakan kejuaraan pertama mereka dalam tempoh 10 tahun.
Rangers juga dinobat sebagai juara dengan rekod tanpa kalah setakat ini. Lebih manis buat peminat Rangers, pasukan mereka berjaya menghalang Celtic daripada menjadi kelab Scotland pertama menjuarai liga untuk 10 tahun berturut-turut.
Nak dijadikan cerita, Liverpool kini bukan berada pada prestasi terbaik. Juara bertahan itu berada di kedudukan ke-8 liga selepas alami 6 kekalahan berturut-turut di Anfield. Tapi, Liverpool dilanda krisis kecederaan musim ini dan sukar untuk turunkan kesebelasan utama mereka.
Apabila ditanya berhubung kemungkinan mengendalikan Liverpool, Gerrard akui belum masanya dia berbuat demikian. Walaupun ia merupakan impiannya untuk menjadi pengurus di Anfield, Gerrard tetap berharap Jurgen Klopp akan terus mengendalikan pasukan itu untuk jangka masa yang panjang.
Spekulasi Gerrard ke Liverpool ini bermula apabila wujud khabar angin mengatakan Klopp akan tinggalkan Liverpool untuk menjadi pengurus pasukan kebangsaan Jerman. Namun, Klopp dah pun menafikan perkara tersebut dan menyatakan kesediaannya untuk kekal di Anfield.
Jadi, diharap semua penyokong Liverpool bawa bertenang. Rasanya, keputusan Gerrard ni tepat sebab dia pun baru je jadi pengurus Rangers mulai 2018. Kita tak nak lah kariernya sebagai pengurus tercalar apabila sertai Liverpool. Takkan lah kita nak Gerrard jadi macam Frank Lampard ketika di Chelsea kan? Berbakat macam mana pun seseorang itu untuk jadi pengurus, mereka perlu ada pengalaman yang cukup untuk kendalikan pasukan besar. Dan kita pun kena akui yang tahap saingan Liga Scotland dengan Liga Perdana Inggeris ni boleh dikatakan agak jauh juga.
Oleh: Karami Kamel