Adik kepada supermodel Gigi Hadid iaitu Bella Hadid mengakui beliau dan keluarga ada menerima ratusan ugutan bunuh gara-gara kelantangan mereka dalam mengutuk serangan Israel terhadap Palestin.
Bella dilihat lantang dalam mengutuk tindakan rejim Zionis yang terus menerus membedil dan membunuh ribuan nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Malah, mereka juga mendesak agar pemimpin dunia bersatu dan mengecam kekejaman ini atas dasar kemanusiaan.
Meskipun mereka diancam dengan ratusan ugutan bunuh, Bella, 27, berkata mereka sama sekali tidak akan berganjak daripada pendirian dan sokongan terhadap Palestin.
Menerusi Instagram, Bella turut berkongsi kehidupannya dan keluarga kini agak tegang kerana kelantangannya dalam bersuara mengenai isu Palestin-Israel.
“Saya mencari perkataan yang sesuai untuk menggambarkan kehidupan kami sejak dua minggu lalu.
“Ia sangat menegangkan dan ini terjadi hanya kerana kami bersuara tentang nyawa manusia yang tidak berdosa,” kata beliau.
Malah, Bella berkata nombor telefonnya juga sengaja didedahkan kepada umum, dan keadaan keluarganya juga dalam bahaya.
“Saya menerima ratusan ugutan bunuh setiap hari. Nombor telefon saya didedahkan dan keluarga berada dalam keadaan bahaya.
“Dan saya tidak boleh lagi berdiam diri. Ketakutan bukan satu pilihan.
“Penduduk Palestin terutama di Gaza termasuk kanak-kanak tidak boleh melihat kita berdiam. Bukan kita yang berani tapi mereka,” ujar Bella Hadid.
Menerusi kenyataan itu, Bella juga bertegas akan terus menentang kekerasan dan kekejaman yang berlaku, selain menuntut keharmonian khususnya kepada penduduk Palestin.
Sumber: Instagram