Hanya mereka yang mempunyai pengenalan diri khas (ID) dan disahkan layak sahaja boleh membeli minyak masak berpaket melalui subsidi bersasar yang dijangka diperkenalkan tahun hadapan.
Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, bertujuan bagi memastikan penjualan minyak paket itu disasarkan hanya kepada yang memerlukan.
"Pada ketika ini Kerajaan keluarkan 60 juta paket minyak masak bersubsidi setiap bulan, akan tetapi aduan di terima ialah ia tidak boleh didapati di pasaran dan selalu habis.
"Maka dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID (pengenalan diri) dan disahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak yang paket bersubsidi ini.
"Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Ahad.
Tambahnya lagi, golongan T20 adalah tidak layak untuk menerima subsidi minyak paket ini.
Penjualan minyak paket bersubsidi ini akan disasarkan kepada 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 yang sudah dikenalpasti, selain penambahan kira-kira satu juta pengguna usahawan mikro seperti peniaga keropok lekor, pisang goreng dan ayam goreng.
Sumber: Astro AWANI