Belgium Luluskan 4 Hari Bekerja, Pekerja Punya Hak Untuk Tidak Endah Bos Selepas Waktu Bekerja

Penduduk Belgium kini mempunyai hak untuk memilih sama ada mereka mahu bekerja lima hari atau empat hari seminggu.

belgium luluskan 4 hari bekerja, pekerja punya hak untuk tidak endah bos selepas waktu bekerja

Menerusi pakej pembaharuan yang dipersetujui kerajaan persekutuan negara itu, para pekerja diberi pilihan untuk memohon tempoh bekerja empat hari seminggu.

Selepas enam bulan dari tempoh tersebut, mereka dikehendaki untuk membuat pilihan mutlak sekiranya ingin kembali kepada bekerja lima hari seminggu atau kekal dengan tempoh baru itu.

Menurut Menteri Buruh Belgium, Pierre-Yves Dermagne, “Ini perlu dilakukan atas permintaan pekerja, dengan majikan memberikan alasan kukuh untuk sebarang penolakan.

“Tempoh enam bulan dipilih supaya pekerja tidak terperangkap terlalu lama sekiranya tersalah pilih.”

Bawah sistem Belgium, pekerja akan dapat memendekkan hari bekerja mereka iaitu dari lima kepada empat hari seminggu.

Selain itu, mereka juga boleh meminta jadual kerja yang berubah-ubah dengan tempoh notis minimum untuk syif turut berubah, yang mana syarikat di negara itu kini perlu menyediakan jadual sekurang-kurangnya tujuh hari lebih awal.

“Ini akan memberi manfaat kepada mereka yang ingin meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak mereka,” kata Dermagne.

Beliau menambah bahawa cadangan itu akan sangat membantu ibu bapa yang bercerai atau berpisah yang berkongsi hak penjagaan anak mereka.

Selain itu, sejak Januari tahun ini juga, penjawat awam yang bekerja untuk kerajaan persekutuan Belgium diberi hak untuk memutuskan sambungan dan mematikan peranti kerja serta mengabaikan mesej selepas waktu kerja tanpa tindakan balas daripada bos.

Perkara tersebut akan turut dilanjutkan untuk merangkumi semua pekerja Belgium, termasuk mereka yang berada di sektor swasta, menurut Dermagne.

“Sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi semakin berliang. Tuntutan yang tidak henti-henti ini boleh membahayakan kesihatan fizikal dan mental pekerja.”

Demikian itu, undang-undang baru akan terpakai kepada semua majikan yang mempunyai lebih daripada 20 kakitangan.

 

Sumber: [1]