Sebuah video yang kini tular di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak berusia setahun merangkak keluar dari kenderaan remuk akibat kemalangan.
Kejadian dipercayai berlaku di wilayah Lampung, Indonesia itu menunjukkan kanak-kanak bernama Fatih Akbar, merangkak keluar dari serpihan kemalangan sebelum berjalan menuju ke arah ibunya, Sri Devi.
Kanak-kanak itu menjadi mangsa dalam kemalangan ngeri melibatkan dua buah lori, namun beliau berada dalam keadaan selamat dari salah sebuah kenderaan yang remuk itu.
Kelihatan ibu mangsa, Sri Devi ketika itu sedang berusaha untuk keluar dari pintu tempat duduk kelindan yang turut remuk.
Anaknya yang baru belajar berjalan itu kemudian dilihat menuju ke arah ibu dengan memanjat beberapa serpihan nahas.
Ujar Sri Devi, beliau tidak sedar bagaimana kemalangan itu bileh berlaku kerana ketika kejadian dia bersama anaknya itu sedang tidur.
“Saya juga tidak tahu Fatih tercampak ke luar kenderaan. Saya lihat dia sudah berada di luar (lori),” katanya.
Terdahulu, pada 9 September lalu, dua buah lori dilihat terbalik dengan salah satu daripadanya berada dalam keadaan melintang di tengah jalan.
Mujur kedua mangsa berada dalam keadaan baik dan selamat selain hanya mengalami beberapa kecederaan ringan.
Sumber: Kosmo! / Tiktok