Banjir: Kisah Pasangan Suami Isteri Bersama Anak Tidur Di Atas Bumbung Walau Hujan

Kerja-kerja menyelamat mangsa terkandas di Taman Sri Muda, Shah Alam masih diteruskan pihak berkuasa dari masa ke masa.

banjir: kisah pasangan suami isteri bersama anak tidur di atas bumbung walau hujan

Turut menyertai agensi kerajaan dalam operasi menyelamat ialah pelbagai badan bukan kerajaan, sukarelawan turut tampil membawa bot persendirian mereka untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa terkandas.

Berdasarkan satu tinjauan yang dilakukan oleh Astro Awani, ratusan sukarelawan berada di sepanjang lebuh raya berhampiran kawasan kejadian yang dijadikan jeti untuk bot berlepas.

Bagaimanapun, paras air dilihat tidak surut tetapi bergelora justeru menyukarkan pasukan penyelamat untuk melancarkan gerakan menyelamat secara besar-besaran.

Menurut salah seorang mangsa, K Veerasingam, 46, yang merupakan bapa kepada dua orang anak, “Air makin naik ada bantuan. Memang kami susah satu malam, tidur atas bumbung, selimut pun memang sejuk keadaan itu tak boleh digambarkan,

“Memang kita ingat mahu hidup sahaja, barang lain tak ada pun tak apa, janji isteri dan anak selamat. Dapat naik bot, lega dan terima kasih kepada Tuhan dan orang yang menyelamat saya,” katanya.

Dalam pada itu, isterinya, Sarawathy Balakrishnan, 37, menceritakan mengenai pengalaman mereka yang terpaksa tidur dalam keadaan gelap gelita dan kedua-dua anak mereka yang trauma serta mengadu sakit badan kerana tidur di atas bumbung.

“Air naik sampai dua tingkat, semalam pagi jam 10 lebih air dah sampai lutut. Air tinggi dua tingkat sudah naik, saya pecah tingkap keluar ke bumbung duduk di situ dari pagi semalam sampai sekarang (malam Ahad).

“Anak-anak kaki semua sakit, memang tak boleh buat apa-apa. Panggil pasukan penyelamat nasib dapat diselamatkan,” katanya.

 

Sumber: [1]