Buat pertama kalinya dalam tempoh beribu-ribu tahun, akhirnya balutan mumia firaun dari zaman Mesir purba ‘dibuka’ secara digital.
Mumia Mumia Amenhotep I, yang memerintah dari tahun 1525 hingga 1504 Sebelum Masihi (SM) ditemui di sebuah tapak di Deir el-Bahari, 140 tahun yang lalu.
Bagi mengekalkan keadaan asal pembalut mumia itu, ahli-ahli arkeologi sebelum ini mengelak daripada membuka balutannya sejak ia pertama kali ditemui.
Bagaimanapun satu imbasan topografi komputer (CT) telah dilakukan ke atas mumia itu dan maklumat baharu mengenai mumia berkenaan telah diketahui, termasuklah kisah pemakamannya.
Profesor radiologi di Universiti Kaherah dan pengarang utama penyelidikan tersebut, Dr. Sahar Saleem berkata, pasukannya menjangkakan firaun Amenhotep I berusia kira-kira 35 tahun ketika dia meninggal dunia.
“Dia memiliki ketinggian kira-kira 169 sentimeter dan mempunyai gigi yang cantik. Di sebalik balutannya, firaun tersebut memakai 30 tangkal azimat dan pengikat pinggang emas yang disulam dengan manik emas.
“Amenhotep I secara fizikal dilihat menyerupai bapanya, di mana dia mempunyai dagu yang sempit, berhidung kecil, berambut keriting dan gigi atas yang sedikit menonjol,” katanya.
Menurutnya lagi, mereka tidak pula menemui sebarang kesan luka atau kecacatan akibat penyakit yang mungkin menjadi punca kematian firaun tersebut. Punca kematiannya juga masih lagi disiasat.
Sumber: [1]