Bahaya Trend Senaman Ekstrem

Senaman bermusim seperti mana yang menjadi trend pada masa kini sebenarnya boleh membawa implikasi yang tidak baik kepada kesihatan kita. 

Menerusi laporan Kosmo, Pengarah Perubatan dan Pe­ngasas Klinik Iris Shah Alam, Dr. Arisman Wenge Abdul Rahman berkata, senaman yang disarankan pakar kesihatan adalah senaman ringan, tetapi dilakukan secara konsisten setiap hari.

“Sebenarnya masih ada kebaikan senaman secara bermusim termasuk untuk menghilangkan stres, tetapi dari segi kesihatan jangka masa panjang, ia tidak memberi kesan yang kita inginkan.

“Senaman yang dilakukan secara bermusim dan ekstrem pula boleh mengundang risiko kesihatan, sebagai contoh boleh mengalami rabdomiolisis atau cardiac arrest,” katanya. 

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu sudah biasa membuat senaman berat, dan badan mereka tidak mengalami sebarang risiko, mereka boleh meneruskan aktiviti senaman berat itu tapi hanya perlu mengikut kemampuan badan mereka. 

Tetapi, jika seseorang itu tiba-tiba mahu mengikut trend dan tiba-tiba mahu mengikut rakan untuk berbasikal sejauh 50 kilometer (km) atau berjoging 10 km, ia adalah sangat bahaya.

“Ia boleh memberi kesan kepada jantung. Orang yang sudah lama melakukan aktiviti ekstrem tanpa sebarang risiko, jantung mereka telah bersedia. Mereka yang tiba-tiba hendak buat aktiviti berat secara mengejut atau bermusim adalah sangat bahaya,” jelasnya.

Menurut Dr. Arisman lagi, risiko rabdomiolisis pula adalah berkaitan kecederaan pada otot yang boleh menyebabkan elektrolit dalam otot pecah sehingga ke pembuluh darah dan lebih teruk, ia boleh membawa kepada kematian.

Senaman untuk kesihatan yang disarankan untuk seseorang itu adalah 150 minit dalam seminggu yang dilakukan secara konsisten iaitu sekitar 30 minit sehari sahaja. 

Sumber: Kosmo