Ketuat atau kutil boleh terjadi akibat pertumbuhan pada lapisan luar kulit atau epidermis yang berpunca akibat jangkitan virus.
Ia tergolong sebagai tumor kecil yang boleh muncul pada seluruh kulit badan dan disebabkan oleh salah satu daripada 100 jenis Human Papillomavirus (HPV). Pun begitu, ketuat tidaklah membahayakan kesihatan, namun ramai cenderung untuk membuangnya atas faktor kebersihan dan kecantikan kulit.
Antara kaedah membuang ketuat adalah dengan menggunakan krim yang terkandung dengan asid salisilik yang boleh didapatkan di hospital, klinik mahupun farmasi.
Asid salisilik adalah sejenis bahan kimia daripada keluarga asid beta hidroksi dan berfungsi menguraikan liang pori kulit yang mempengaruhi sel kulit mati serta hidup. Bahan ini juga biasa ditemui di dalam produk kulit yang lain untuk tujuan yang berbeza termasuklah:
- Sabun muka untuk rawat masalah jerawat
- Syampu rambut untuk rawat masalah kelemumur
- Losen kulit untuk rawat masalah penuaan
Meskipun begitu, mereka yang menggunakan krim asid salisilik bagi membuang ketuat perlu menunggu lebih lama kerana ia bersifat jangka masa panjang. Kebanyakkan mereka yang menggunakan krim ini nyata berjaya membuang ketuat pada badan.
Dalam pada itu juga, wujud kesan sampingan yang mungkin boleh terjadi kepada individu seperti kerengsaan, keradangan, kegatalan, kesakitan serta perubahan pada warna kulit.
Selain krim asid salisilik, ada beberapa ramuan semula jadi di rumah yang boleh diamalkan bagi membuang ketuat iaitu cuka epal, bawang putih, kulit oren dan juga lidah buaya. Cara penggunaan ramuan semula jadi ini adalah sama iaitu dengan mengekstraknya ke dalam bentuk cecair dan kemudian menyapunya pada kawasan kutil.
Walaubagaimana pun, adalah lebih baik untuk anda berjumpa dan berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mencuba sebarang cara untuk membuang kutil pada kulit badan.
Sumber: Hello Doktor