Pejam celik-pejam celik Sukan Olimpik Tokyo dah semakin hampir. Temasya sukan terbesar dunia ni yang sepatutnya berlangsung tahun lalu terpaksa ditunda ke tahun ini akibat COVID-19. Ada juga khabar angin yang mengatakan ia akan sekali lagi ditunda. Namun, Jepun tegaskan akan tetap menganjurkannya Julai depan biarpun situasi COVID masih belum reda.
Macam bahaya je kan kalau nak anjurkan Sukan Olimpik pada waktu COVID ni kan? Tapi jangan risau, Jepun dijangka akan menyediakan buku panduan untuk temasya tersebut. Buku panduan tersebut akan menyentuh soal SOP ketat dan penganjuran temasya tersebut yang mungkin berlangsung tanpa penonton. Temasya terbesar dunia itu akan berwajah baru, mana tidaknya ia berlangsung tanpa penonton kan!
Jadi macam mana dengan Malaysia? Jadi ke nak bertanding nanti? Menteri Belia dan Sukan telah pun beri bayangan yang kontinjen negara tidak akan tarik diri daripada temasya itu. Datuk Seri Reezal Merican berkata kejayaan dalam bidang sukan mampu beri inspirasi kepada golongan muda. Beliau juga turut berdoa agar Malaysia mampu mencapai lebih banyak kejayaan terutamanya dalam bidang sukan tahun ini.
Chef de Mission kontinjen negara pula mengingatkan semua atlet agar bersedia sepenuhnya terutama daripada segi mental. Jelas Datuk Lee Chong Wei, Sukan Olimpik Tokyo ini jauh berbeza dengan temasya terdahulu kerana COVID-19. Pelaksanaan SOP yang ketat dan kemungkinan ketiadaan penonton boleh mengganggu mental atlet negara. Tambah legenda badminton negara itu, sepanjang kariernya menyertai Sukan Olimpik dia tidak pernah berepan dengan situasi sebegini.
Malaysia telah memenangi 11 pingat sepanjang penyertaan pada Sukan Olimpik – 8 daripadanya disumbangkan sukan badminton. Daripada 8 pingat itu, Datuk Lee Chong Wei meraih 3 pingat perak. Selain badminton, sukan terjun telah menyumbangkan 2 pingat.
Ratu terjun negara, Pandelela Rinong meraih gangsa acara 10 meter platform individu wanita di London pada 2012 sebelum menggondol perak dalam acara 10 meter platform seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong di Olimpik Rio 4 tahun kemudian. Satu lagi pingat Malaysia diraih jaguh berbasikal trek kita, Azizulhasni Awang. The Pocket Rocketman itu mengutip gangsa dalam acara keirin juga di Rio.
Malaysia masih ketandusan emas pada temasya ini. Harapan emas kali ini diletakkan pada skuad badminton, skuad terjun dan skuad berbasikal trek kita. Tapi takkan 3 acara ini je yang mampu sumbangkan pingat untuk Malaysia?
Harap-harap atlet lain juga bersemangat dan telah bersedia untuk mengharungi Sukan Olimpik Tokyo tahun ini. Mana lah tahu mampu cipta kejutan kan? Bak kata pepatah, untung sabut timbul untung batu tenggelam.
Oleh: Karami Kamel