"Zaman Bertepuk Tampar Tu Dah Berlalu" - Ayda Jebat Akui Status Isteri & Ibu Banyak Ubah Diri

Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat berkongsi kehidupannya berubah 360 darjah selepas menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu.

zaman bertepuk tampar tu dah berlalu - ayda jebat akui status isteri & ibu banyak ubah diri

Menurut Ayda, yang merupakan isteri kepada Nabil Mahir itu, dia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga nama baik suami dan keluarga.

“Memang saya seorang pelakon tetapi sekarang saya ada tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Jadi sejujurnya, dah tak perlulah berlakon cerita cinta yang kena bertepuk tampar atau pegang tangan dengan hero. Zaman itu sudah berlalu.

“Harap selepas ini saya dapat bawa watak yang tak pernah dijayakan sebelum ini. Saya juga nak elak cerita cinta yang klise,” ujarnya.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia sedar dia mempunyai peranan sebagai pelakon untuk menjadi suri teladan kepada masyarakat.

Justeru, dia berharap dapat mendidik penonton dengan naskhah yang lebih bermanfaat tanpa perlu melakonkan sebarang babak berlebihan.

“Kita tak perlu pun buat cerita yang begitu sebenarnya. Ada banyak cerita bagus yang kita boleh buat tanpa memerlukan babak romantis, ambil contoh drama dan filem Korea Selatan.

“Tak bersentuhan dan bertepuk tampar, tapi tetap dapat buat kita senyum dan jatuh cinta dengan cerita mereka. Jadi kita (industri Malaysia) kena pergi ke arah itu. Berlakon tak perlu buat sesuatu yang kontroversi untuk viral,” katanya.

Katanya lagi, adalah tidak mungkin untuk dia mengulangi kehidupan zaman lalunya.

“Bagi saya, artis dianggap sebagai suri teladan, jadi kenalah bagi contoh yang baik. Mungkin dulu saya tak bagus dan tak baik. Orang boleh bercakap macam itu kepada saya tetapi selepas ini, ‘no more’, cukuplah,” katanya.

 

Sumber: Kosmo