Awas Mesej Palsu Peringatan Culik dan Jual Organ Kanak-Kanak

Beberapa hari lalu, tular mesej peringatan kononnya dari ‘Gerakan IPK Bukit Aman’ yang meminta orang ramai berhati-hati ketika ingin keluar rumah.

 

Ia berikutan dakwaan terdapat kereta dan van berwarna putih yang disyaki terlibat dalam penculikan dan menjual organ manusia, khasnya kanak-kanak.

awas mesej palsu peringatan culik dan jual organ kanak-kanak

Mesej yang tular di media sosial itu ternyata membawa resah kepada orang ramai yang bimbang akan keselamatan anak masing-masing.

 

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan mengesahkan tiada laporan diterima berkaitan culik dan penjualan organ manusia melibatkan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun di negara ini seperti yang didakwa dalam mesej terbabit.

 

Menurut Superintendan Komunikasi Korporat Urus Setia Ketua Polis Negara PDRM, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, mesej palsu itu telah tular sejak tahun 2016 dan ia kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.

 

Pihaknya juga telah mengesan penyebaran mesej palsu itu di platform media sosial yang memberi amaran kepada rakyat negara ini supaya berwaspada dengan sindiket penculikan yang menyasarkan kanak-kanak bawah usia 15 tahun untuk mendapatkan organ sebelum ia dijual. Sindiket penculikan itu juga kononnya menggunakan kereta jenis Proton Wira dan sebuah van berwarna putih.

 

Tegas beliau, pihak Bukit Aman tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran sedemikian, dan menyeru orang ramai supaya tidak percaya dengan berita palsu dan tidak ditentukan kesahihannya. Ujarnya lagi, tindakan berkongsi berita seperti ini boleh menimbulkan panik dan kebimbangan dalam masyarakat.

 

Sumber: [1]