Demam merupakan satu perkara yang cukup merisaukan ibu dan bapa. Lebih merisaukan apabila suhu badan anak terlalu tinggi dan berlarutan hingga berjam lamanya.
![awas, suhu badan anak tinggi sangat boleh akibatkan sawan](https://media2.fishtank.my/media/syokbm/assets/gambar-artikel/unsafe-fever-temperature-for-kids.jpg)
Tahukah anda, suhu badan anak yang terlalu tinggi boleh menyebabkan mereka mengalami demam sawan?
.
Demam sawan boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia seawal 6 bulan hingga 5 tahun. Ia menyebabkan kanak-kanak tidak sedarkan diri dan biasanya diikuti oleh kekejangan atau penyentakan kaki dan tangan. Punca kepada demam sawan adalah disebabkan suhu badan yang tinggi, biasanya melebihi 38 darjah Celsius.
![awas, suhu badan anak tinggi sangat boleh akibatkan sawan](https://media2.fishtank.my/media/syokbm/assets/gambar-artikel/difference-between-epilepsy-and-seizure-learn-from-expert-how-epilepsy-and-seizure-are-different-diseases-medicircle.jpg)
Berikut adalah tanda dan gejala kepada demam sawan:
#1 Anak akan tidak sedar diri atau tidak menunjukkan tindak balas apabila dipanggil
#2 Kedua-dua kaki dan tangan kejang atau tersentak-sentak
#3 Mata mungkin terbeliak ke atas.
#4 Kadang-kala kekejangan atau sentakan hanya berlaku pada sebahagian anggota badan sahaja, seperti satu tangan atau satu kaki
#5 Sawan biasanya berhenti dengan sendiri selepas 2-3 minit atau kurang, dan jarang melebihi 10 minit. Bagaimanapun dalam kes di mana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan secepat mungkin
#6 Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut
#7 Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5 darjah Celsius
#8 Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau “sawan babi” adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam)
#9 Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam.
.
Majoriti demam sawan adalah tidak membahayakan, malah tiada juga bukti kukuh bahawa demam sawan boleh menyebabkan kerosakan otak.
![awas, suhu badan anak tinggi sangat boleh akibatkan sawan](https://media2.fishtank.my/media/syokbm/assets/gambar-artikel/epilepsy-thumbnail.png)
Berikut pula tindakan yang boleh ibu dan ayah lakukan sekiranya anak mengalami demam sawan:
#1 Baringkan anak anda secara mengiring sebelah kiri atau kanan.
#2 Jauhkan anak anda dari sebarang benda yang berbahaya atau tajam
#3 Jangan sekali-kali memasukkan sesuatu ke dalam mulut anak anda semasa berlakunya sawan
#4 Jangan menampar, menggoncang atau mengurut badan anak anda untuk menyedarkan dirinya semasa sawan
#5 Catatkan masa dan tempoh berlakunya sawan
#6 Bawa anak anda ke hospital dengan segera, jika sawan berlaku
#7 Anak anda perlu diperiksa oleh doktor selepas berlakunya sawan untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang jangkitan kuman pada otak.
.
Rawatan awal di hospital mampu mengurangkan segala risiko membahaya. Dapatkan juga pemeriksaan jika terdapat sejarah demam sawan dalam ahli keluarga terdekat.
.
Sumber: [1]