Astro First akan membawa penonton terbang menikmati keindahan negara Wales, diiringi ‘mood’ romantis sepanjang menonton filem romantik komedi pertama tempatan tahun ini, Autumn in Wales terbitan Pencil Pictures and Record, bermula 24 Mac ini.
Filem arahan pengarah Rahila Ali ini juga dipadatkan dengan pelbagai tempat dan sinematografi memukau serta penampilan koleksi busana menarik ketika melancong, sekaligus menambahkan lagi ‘mood’ melancong dalam kalangan penonton di samping bersantai dengan telatah mencuit hati menerusi setiap watak.
Autumn in Wales yang menjalani sesi penggambaran di Wales, United Kingdom dibintangi oleh Eyka Farhana, Jaa Suzuran, Keith Foo, Wanna Ali, Joey Daud, Amyza Adnan, Sissy Iman, Fara Mendoza, Wanns Ahmad dan Amirul Haswendy dalam menjayakan watak-watak yang digarap oleh penulis Amirul Haswendy.
Autumn in Wales menjadi filem lakonan pertama oleh bekas penyampai radio ERA, Jaa Suzuran yang memegang watak sebagai Jaka iaitu seorang tukang cuci pinggan yang berasal dari negeri pantai timur dan bersikap ceria serta lucu.
Turut tidak ketinggalan, filem ini juga menyaksikan kemunculan semula pelakon kacak yang sinonim dengan karakter romantik, Keith Foo.
Kata Dato’ Normashayu Puteh selaku penerbit filem ini, “Filem Autumn in Wales bukan sekadar filem romantik komedi biasa, tetapi selain mempertaruhkan jalan cerita yang mampu menyentuh perasaan dan dekat dengan hati penonton, ia turut dihiasi dengan sinematografi menarik di Wales, yang mana kami percaya, jarang filem tempatan mengetengahkan keindahan negara tersebut, dan sedikit sebanyak mampu menyuntik keterujaan penonton yang rindukan aktiviti melancong ke luar negara dalam norma baharu sekarang ini. Manakala, mengenai pemilihan pelakon pula ia menggabungkan selebriti tanah air daripada kelompok sasaran yang berbeza.
“Kami percaya percaturan Jaa Suzuran selaku teraju utama mampu menghidangkan satu kelainan, tambahan pula wataknya mempunyai karakter tersendiri iaitu seseorang yang kelakar serta sentiasa mengagungkan dialek ibundanya walau ke mana dia pergi.
“Selain itu, gandingan mantap oleh Ekya Farhana, Wanna Ali, Keith Foo serta pelakon senior Joey Daud dan Amyza Adnan turut memberi sisi berbeza yang mampu membawa gelak tawa kepada penonton. Harapan saya agar Autumn in Wales menepati cita rasa penggemar filem tanah air dan dalam pada itu dapat membawa penonton keluar seketika daripada tekanan harian ketika menontonnya.”
Filem ini turut menampilkan lagu tema utama bertajuk ‘Pandu Lalu’, nyanyian oleh Wanna Ali, penulis lirik dan komposer oleh Shazee Ishak dan Audi Mok.
Autumn in Wales mengisahkan tentang Aira seorang gadis manja yang menanti detik bahagia bersama tunangnya, Darwish. Menjelang hari perkahwinan mereka, Aira telah pergi ke Wales untuk membuat kejutan buat Darwish. Ketika di Wales, satu insiden berlaku pada Aira dan Jaka a.k.a Jejaka Kacak berasal daripada pantai timur ingin memulakan hidup baru di Wales selepas berpisah dengan kekasih yang rupanya dua alam.
Langgan dan saksikan Autumn In Wales Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 24 Mac 2022.
Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.