Penduduk Austria yang enggan mendapat vaksin COVID-19 akan dikenakan sekatan.
Arahan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan dalam menangani lonjakan kes baru dan tekanan yang meningkat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Susulan itu, Austria menjadi negara Eropah pertama yang mengenakan sekatan kembali pada pergerakan harian seperti yang dikenakan semasa penutupan negara sebelum vaksin dilancarkan.
Sekatan tersebut bagaimanapun hanya akan dikenakan ke atas mereka yang enggan divaksin.
Austria adalah antara negara di benua Eropah yang mencatatkan kadar jangkitan tertinggi dengan jumlah 815 kes seminggu dalam setiap 100,000 individu.
Menurut Canselor Alexander Schallenberg, pihaknya tidak mengambil mudah langkah tersebut tetapi ia harus dilakukan.
Langkah terbaru itu melibatkan mereka yang tidak divaksinasi hanya boleh meninggalkan rumah mereka atas beberapa sebab terhad seperti pergi bekerja atau membeli-belah keperluan penting.
Selain itu, mereka yang tidak divaksin juga dilarang ke tempat-tempat seperti restoran, hotel, teater dan lif ski.
Kira-kira 65 peratus penduduk Austria telah diberi vaksin sepenuhnya.
Namun, angka tersebut merupakan salah satu kadar terendah di Eropah barat.
Sumber: [1]