Astro Shaw Jalin Kolaborasi Mega Bersama Penerbit Terkemuka Dari Indonesia, Visinema Pictures

Penerbit dan peneraju filem Malaysia, Astro Shaw hari ini mengumumkan kerjasama strategik bersama penerbit terkemuka dari Indonesia yang memenangi pelbagai anugerah berprestij, Visinema Pictures dalam membawakan dan menjadi penerbit bersama untuk empat filem hebat di Indonesia, Ben & Jody, Keluarga Cemara 2, Jagat Arwah dan Mencuri Raden Saleh.

astro shaw jalin kolaborasi mega bersama penerbit terkemuka dari indonesia, visinema pictures

Ini sekaligus mengukuhkan lagi peranan Astro Shaw selaku penerbit, pengedar dan pemasar filem terbaik Malaysia dalam mendominasi pasaran Asia.

Terdahulu, pada 2020, Astro Shaw pernah bekerjasama dengan penerbit Visinema Pictures bagi memasarkan filem bergenre kekeluargaan paling laris di Indonesia, ‘Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini’, untuk tontonan di Malaysia menerusi platform Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Sambutan positif daripada penonton Malaysia serta menerima liputan meluas dari media tempatan, telah membuktikan filem dari negara jiran juga turut menjadi pilihan penonton tempatan dalam menikmati hiburan filem. 

Lanjutan daripada kerjasama baik Astro Shaw dan Visinema Pictures, ia telah membawa kedua-dua penerbit terkemuka serantau itu ke tahap seterusnya untuk meneroka lebih banyak peluang kolaborasi yang mampan.

Selain mencipta kejayaan besar menerusi filem ‘Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini’ sebagai Top 2 Filem Tempatan Paling Laris di Indonesia tahun 2020, deretan filem lain terbitan Visinema Pictures juga turut melakar fenomema tersendiri seperti ‘Cahaya dari Timur: Beta Maluku’ (2014), ‘Filosofi Kopi’ (2015), ‘Surat Dari Praha’ (2016), ‘Filosofi Kopi 2: Ben & Jody’ (2017), ‘Love For Sale’ (2018), Keluarga Cemara (2019), adaptasi daripada webtoon popular Indonesia, ‘Terlalu Tampan’ (2019) dan banyak lagi.

astro shaw jalin kolaborasi mega bersama penerbit terkemuka dari indonesia, visinema pictures

Visinema Pictures amat dikenali sebagai penerbit yang mengangkat bakat-bakat kreatif muda dan idea-idea progresif dalam menghasilkan filem-filem yang memberi nafas segar dan sekali gus mencetus impak kepada perubahan besar buat filem Indonesia. 

Malah, kredibiliti Visinema juga diyakini dengan di bawah teraju Pegawai Eksekutif Visinema, Angga Dwimas Sasongko yang juga dikenali sebagai pengarah berbakat besar Indonesia dan menjadi penerbit paling muda yang memenangi Anugerah Citra untuk Filem Terbaik di Festival Filem Indonesia ketika usianya 29 tahun. 

Menerusi gabungan mega ini, Astro Shaw berhasrat ia mampu meningkatkan lagi kualiti hiburan filem buat penonton Malaysia. 

Astro Shaw terkenal dengan pendekatan inovatif dalam mengetengahkan cerita segar yang menyentuh hati penonton, serta berjaya mencipta fenomena tersendiri dengan mengungguli carta filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Malaysia melalui filem-filem terbaiknya iaitu Hantu Kak Limah, Polis Evo 2, Paskal, Abang Long Fadil 2, Pusaka, Sangkar dan banyak lagi. 

Melalui salah satu filem terbaru terbitannya, The Garden of Evening Mists, Astro Shaw telah menjadi tumpuan di pentas antarabangsa dengan memenangi pelbagai anugerah di pelbagai festival filem antarabangsa.

astro shaw jalin kolaborasi mega bersama penerbit terkemuka dari indonesia, visinema pictures

Mengulas tentang kolaborasi tersebut, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata Astro Shaw rasa berbesar hati apabila dilihat sebagai penerbit filem utama di Malaysia yang mampu meyakinkan pengkarya dari negara

luar untuk jalin hubungan kerjasama dan meneroka potensi yang lebih besar. 

“Kami berbangga dapat menjalin kerjasama strategik sekali lagi bersama Visinema Pictures dalam memperkukuhkan jenama kedua-dua penerbit di peringkat global. Dengan berkongsi objektif yang sama, kerjasama ini melambangkan kesungguhan kedua-dua belah pihak untuk memperkasa hasil filem Asia. 

“Kolaborasi ini juga dilihat menjadi platform sempurna buat Astro Shaw dalam mempamerkan kredibiliti dalam menyediakan platform terbaik untuk mengedar dan memasarkan filem dari negara luar, di samping konsisten dengan komitmen berterusan dalam mempersembahkan filem-filem berkualiti kepada penonton Malaysia. 

“Kami berharap dapat terus berinovasi bersama Visinema Pictures dan mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak di masa akan datang. Sebagai permulaan, tahun ini kami bakal membawakan filem Ben & Jody ke Malaysia yang dijangkakan pada bulan Mac hadapan.”

Istimewa buat penonton Malaysia, nantikan filem-filem Ben & Jody, Keluarga Cemara 2, Jagat Arwah dan Mencuri Raden Saleh yang akan menemui anda tidak lama lagi. Dapatkan info dan klip-klip menarik tentang perkembangan filem-filem daripada kolaborasi ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

ARTIKEL BERKAITAN